KANGAR 4 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu kompleks Halal Hub Park di Padang Besar berharga RM10.7 juta dibangunkan segera bagi memacu pembangunan ekonomi negara.
Titah baginda, langkah itu wajar untuk memenuhi strategi pasaran semasa terutama bagi membolehkan produk halal Malaysia lebih awal memasuki pasaran negara Timur Tengah.
Tindakan segera, titah baginda, perlu kerana ia merupakan satu peluang terbaik bagi Perlis sendiri untuk dikenali dunia sebagai pusat halal serantau yang berskala besar.
“Beta difahamkan pelaksanaan projek hab halal di Perlis mengalami kelewatan disebabkan kerja-kerja awal tergendala ekoran isu penyelesaian tanah dengan pengusaha asas di tapak cadangan.
“Bagaimanapun, isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya dan pelaksanaan projek Fasa 1 bagi keluasan 11 hektar dijangka siap November ini,” titah baginda ketika melancarkan Kempen 1Malaysia 1Halal di Dewan 2020 di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Abdul Malik Husin dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin hadir sama pada majlis tersebut.
Jelajah kempen ini singgah di Perlis sebagai lokasi pertama di peringkat negeri dan adalah lanjutan kejayaan program sulungnya di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Raja Muda Perlis percaya peruntukan RM70 yang dipohon oleh kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.
Baginda menambah, pembangunan Halal Hub Park bukan sahaja akan memberi kesan yang amat positif kepada rakyat negeri ini, tetapi kepada kerajaan negeri sendiri.
Salah satu daripada kesan positif kepada rakyat yang dimaksudkan oleh baginda itu termasuklah peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan limpahan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menyediakan produk sokongan.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin menyarankan supaya institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan turut menyumbang kepakaran dan teknologi pendidikan dalam usaha meningkatkan inovasi dan nilai komersial halal sedia ada.
Baginda berharap agar aspek bioteknologi diberikan tumpuan sebaik mungkin kerana penerokaan dalam bidang itu merupakan peluang pelaburan baru yang tidak wajar dipandang ringan.
“Sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan, penjenamaan dan tanda ‘Halal Malaysia’ di produk-produk yang dihasilkan dari Perlis juga akan mencerminkan kesucian tatacara pembuatan halal menurut Islam dan menjamin kualiti barangan yang dieksport.
“Ia juga sekali gus dapat meningkatkan tarikan negeri ini sebagai satu lagi pusat aktiviti komersial yang seterusnya meningkatkan daya saing negara sebagai pusat makanan halal dunia,” titah baginda.
UTUSAN MALAYSIA