Monday, February 8, 2010

Usung Rumah Masih Diamal di Perlis

KANGAR 7 Feb. – Apabila Ramli Ismail mahu memindahkan rumah papannya, beliau menghebahkan hasratnya kepada penduduk Wang Belimbing.

Jumaat lepas, beliau memaklumkan hasratnya di masjid dan memberitahu rakannya dan penduduk di situ apabila menemui mereka termasuk berkunjung dari rumah ke rumah.

Hari ini, lebih daripada 250 penduduk kampung berkumpul seawal 7 pagi bagi memindahkan rumahnya yang terletak di pinggir bukit secara mengusungnya beramai-ramai ke lokasi baru sejauh kira-kira 10 meter dari tapak asal.

Usaha itu turut disertai Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bintong, Rusli Mat Hussin.

Md. Isa turut membantu memasang buluh pada bahagian bawah rumah bertiang itu untuk memudahkan kerja-kerja mengusung.

Kegiatan usung rumah secara tradisional ini masih dipraktikkan di Perlis.

Ramli, 44, yang ditemui berkata, rumah berusia lebih 40 tahun itu dibeli daripada seorang penduduk tempatan dengan harga RM600 untuk diduduki salah seorang anaknya.

Ramli yang bekerja sendiri itu bersyukur kerana kegiatan seumpama itu telah merapatkan hubungan penduduk tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Selepas selesai kerja mengusung rumah, orang ramai disajikan dengan jamuan yang disediakan secara gotong-royong oleh penduduk.

Katanya, kegiatan gotong- royong dan mengusung rumah di Wang Belimbing sentiasa segar dan Jumaat lalu, sebuah rumah penduduk kampung itu telah diusung secara bergotong-royong.

Selain rumah, mereka turut mengusung sebuah jelapang padi secara bergotong-royong di lokasi yang sama.

Sebelum ini kegiatan usung rumah pernah berlangsung di Kampung Katong dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Pauh serta Kampung Jarak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bintong.


BERNAMA