Monday, January 31, 2011

14 Atlet Diberi Penghargaan

KANGAR – Seramai 14 atlet termasuk pemain tengah pasukan bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki, Amar Rohidan diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan 2010, di Padang Bola, Taman Emas Bukit Keteri, baru-baru ini.

Amar yang mengalami demam campak sejak seminggu lalu hadir menerima sumbangan sambil ditemani ibu bapanya, Rohidan Rashid dan Che Ah Mad Isa.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Perlis itu bertujuan menyampaikan insentif kepada atlet Perlis kerana telah mengharumkan nama negeri itu di persada antarabangsa.

Selain Amar, turut dirai ialah jaguh hoki negara, Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil; atlet Paralimpik, Surita Saad; jaguh terjun belia negara, Ahmad Amshar Azman; dua jaguh angkat berat negara, Mohd Faiz Musa dan Fatin Atikah Osman.

Manakala atlet basikal, Muhamad Fauzan Norazman dan Jupa Somcat serta lima atlet kayak, Mohd Hanizam Ramli, Mohd Sofiyudin Ismail, Mohd Salehudin Ismail, Mohd Akmal Abdullah, Sham Husin dan Mohd Kamal Ismail.

Dalam majlis itu, tiga atlet iaitu Amar Rohidan, Surita Saad dan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil menerima RM5,000 manakala Ahmad Amshar Azman, menerima RM2,000 dan selebihnya menerima RM500.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Jamil Saad, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyampaikan sumbangan kepada semua atlet berkenaan.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Seri Asiah Asmuni dan Pengerusi Jawatankuasa Penguatkuasaan, Tanah dan Galian Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Jamil berkata, sumbangan terbabit sebagai penghargaan Kerajaan Negeri kepada semua atlet kerana kejayaan mengharumkan nama Perlis dan negara serta sebagai galakan bagi meningkatkan prestasi kecemerlangan dalam bidang sukan.

Menurutnya, pada 2010 lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk atlet menyertai kejohanan di peringkat negara dan antarabangsa, termasuk RM200,000 sebagai ganjaran kepada mereka.

“Selain pencapaian dalam bidang akademik, bidang sukan turut menjanjikan pulangan yang lumayan dan ibu bapa dinasihatkan sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada anak masing-masing untuk menceburi bidang ini,” katanya.

SINAR HARIAN

Thursday, January 20, 2011

Misi Dua Beradik Seludup Minyak Gagal

Gambar Sekadar Hiasan

PADANG BESAR – Taktik dua beradik yang cuba menyeludup minyak masak ke Thailand gagal apabila mereka ditahan Unit Pencegah dan Penyeludupan (UPP), di dua lokasi berlainan di sini, semalam.

Kenderaan pertama jenis Kia Fortage ditahan di tempat pemunggahan barang di Wang Kelian manakala kenderaan kedua jenis Mazda 626 di kawasan Arked Niaga Wang Kelian yang masing-masing dipandu seorang lelaki.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan, Zakaria Abdul Rahman berkata, hasil maklumat awam, sepasukan anggota UPP Padang Besar membuat intipan di kawasan pos pemeriksaan Wang Kelian dan mengesan dua kereta dalam keadaan mencurigakan kira- kira jam 6 pagi.

“Selepas beberapa anggota UPP cuba bergerak ke kenderaan itu, dua kenderaan dipandu dua beradik yang ketika itu melepasi KIK Wang Kelian untuk memasuki negara jiran, bertindak berpatah balik memasuki Malaysia melalui laluan bersebelahan.

“Disebabkan tindakan yang mencurigakan itu, anggota UPP mengejar kedua-dua kenderaan itu sehingga kereta pertama iaitu Kia Sportage ditahan di kawasan pemunggahan barang dan sebuah kereta jenis Mazda 626 ditahan di kawasan Arkib Niaga Wang Kelian,”katanya kepada pemberita di Pejabat UPP Padang Besar, semalam.

Zakaria berkata, hasil penahanan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 1,341 kilogram minyak masak pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM3,360 yang disorok di bawah barangan lain seperti udang kering, beg lampin pakai buang dan mi segera.

Turut dijumpai di hadapan enjin kereta Mazda 626 yang sudah diubahsuai itu ialah dua kotak minyak masak yang disembunyikan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Nilai keseluruhan rampasan ialah RM59,890.

Dua lelaki Cina warga tempatan yang masing-masing berusia 35 dan 40 tahun bersama- sama dua kereta milik mereka ditahan untuk membantu siasatan.

Kes itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda RM100,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya.

SINAR HARIAN

Sunday, January 9, 2011

CCTV Akan Dipasang

KANGAR – Beberapa tempat dan infrastruktur di negeri ini akan dinaik taraf Majlis Perbandaran Kangar (MPK) demi menjadikan Perlis negeri selamat untuk diduduki.

Antara program yang akan dilakukan itu termasuk memperlebar program pencahayaan bandar, pemasangan kamera litar tertutup dan memperbanyakkan papan tanda penunjuk arah.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat berkata, untuk program pencahayaan, beberapa lokasi terutama di pekan kecil seperti Arau, Padang Besar, Kuala Perlis dan Simpang Empat suah dikenal pasti untuk dipasang dengan lampu.

Katanya, untuk itu, pihaknya sudah memohon peruntukan RM2.5 juta daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan tujuan itu dan sehingga kini sebahagian dari jumlah itu sudah diluluskan.

Menurutnya, selain pencahayaan, MPK juga akan memperbanyakkan pemasangan papan tanda penunjuk arah yang dilihat masih berkurangan serta ada antaranya mengundang kekeliruan dalam kalangan pengguna.

“Masih ada penduduk negeri ini yang tidak tahu di mana letaknya pejabat kerajaan seperti pejabat tanah kerana tidak ada papan tanda penunjuk arah untuk memandu mereka.

“Justeru, kita akan memperbanyakkan papan tanda di setiap jalan utama untuk membantu pengguna menuju ke lokasi yang ingin dituju,” katanya ketika ditemui.

Rosley berkata, seterusnya, MPK akan melakukan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa tempat yang kebarangkalian masalah jenayah meningkat seperti di Kuala Perlis dan Padang Besar.

SINAR HARIAN