Saturday, April 16, 2011

Raja Perlis Dukacita Penyalahgunaan Teknologi

KANGAR 16 April - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melahirkan rasa dukacita dengan sesetengah masyarakat yang menyalahgunakan teknologi maklumat untuk tujuan tidak berfaedah.

Baginda bertitah, amalan-amalan yang tidak berfaedah itu perlu dijauhi supaya masyarakat lebih proaktif dalam menjayakan Wawasan 2020.

Bagaimanapun, titah baginda, setiap individu seharusnya membuka minda dan memanfaatkan kepelbagaian sumber maklumat sama ada dalam bentuk cetakan atau digital yang kini boleh diperoleh secara global melalui Internet dan media massa.

"Beta menyeru rakyat Perlis melaksanakan tanggungjawab dengan mengamalkan budaya membaca untuk menimba ilmu pengetahuan agar minda sentiasa terbuka dan tidak berada dalam kepompong penjajahan oleh mana-mana pihak," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Karnival Membaca 1Malaysia dan Pelancaran Serentak Perpustakaan Desa Projek Khas Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Raja Perlis di Perpustakaan Desa Taman Kemajuan, di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu serta Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Maglin D'Cruz.

Titah baginda, melalui pembacaan yang jitu, seseorang bebas memilih, menganalisis dan membuat penterjemahan sendiri mengenai pendapat, ilmu serta maklumat yang diperoleh.

"Pembacaan adalah santapan minda sebagaimana makanan berkhasiat yang boleh membina badan agar sihat, pembacaan bahan-bahan bermutu juga akan membina minda supaya terbuka dan pasti dapat menyumbang ke arah kebaikan dan kesempurnaan," titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Perpustakaan Negara yang memberi perhatian terhadap perkembangan perkhidmatan perpustakaan di Perlis sehinggakan seluruh pelusuk negeri mendapat kemudahan perpustakaan.

"Oleh itu, beta menyeru penduduk Perlis supaya mengambil peluang untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan kerajaan ini (perpustakaan), bukan sahaja golongan kanak-kanak dan pelajar, malah orang dewasa untuk menambah pengetahuan bagi menghadapi cabaran dalam era globalisasi.

"Beta juga ingin menyarankan agar semua rakyat menjadikan membaca sebagai satu amalan harian bermula dari dalam keluarga masing-masing daripada membuang masa dengan sembang kosong yang tidak memberi manfaat," titah baginda.

UTUSAN MALAYSIA