Monday, August 24, 2009

Felcra Lubuk Sireh Terima Dividen RM5.2j


PADANG BESAR 24 Ogos - Sebanyak 360 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad Lubuk Sireh di sini, berkongsi dividen RM5.2 juta hasil jualan getah selama 18 bulan sejak Januari 2008.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, kutipan itu diraih oleh peserta terlibat menerusi jualan getah sepanjang 2008 dan enam bulan pertama 2009.

Secara purata katanya, setiap peserta itu memperoleh RM14,474.84 hasil jualan getah sepanjang tempoh tersebut.

''Rekod menunjukkan, peserta Felcra Lubuk Sireh menerima dividen RM5.2 juta dari Januari 2008 hingga Jun 2009. Daripada jumlah itu, RM4.4 juta merupakan dividen 2008, manakala RM837,350.05 adalah dividen sejak Januari hingga Jun 2009," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perisytiharan dan Penyerahan Dividen Peserta-Peserta Felcra Berhad Negeri Perlis di Dewan Felcra Lubuk Sireh di sini, semalam.


UTUSAN MALAYSIA

Deretan Gerai Usang di Wang Kelian Dirobohkan


PADANG BESAR 24 Ogos - Deretan gerai di sepanjang jalan di Pasar Sehari Wang Kelian di sini dirobohkan hari ini selepas beroperasi kira-kira 12 tahun lalu untuk dipindahkan ke tapak perniagaan berhampiran yang lebih selesa.

Pengarah Perhutanan negeri, Ridzuan Salleh berkata, deretan gerai kira-kira 500 meter itu dirobohkan selepas pihak kerajaan negeri memberikan notis sejak November tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, katanya, empat notis pemindahan sudah dikeluarkan agar pihak peniaga berpindah ke arked tersebut yang mempunyai kemudahan lebih selesa.

''Operasi bermula hari ini dengan bantuan pelbagai agensi termasuk polis, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Imigresen, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

''Proses merobohkan gerai lama ini berjalan dengan lancar dan semua peniaga memberikan kerjasama," katanya di sini hari ini.

Ridzuan berkata, kira-kira 160 peniaga diarah berpindah ke bangunan arked dua tingkat tersebut dan kawasan di belakang arked juga dibina bagi peniaga yang tidak memperoleh lot kedai.

''Sejak sekian lama perniagaan di sini dijalankan di kaki lima jalan yang memberikan pemandangan kurang menyenangkan dan menganggu lalu lintas.

''Operasi dan tindakan tegas dilakukan hari ini selepas kerajaan memberikan masa yang terlalu lama untuk mereka berpindah," katanya.

Tambahnya, selepas ini Jabatan Perhutanan akan mencantikkan lanskap sekitar Pasar Sehari Wang Kelian yang baru termasuk membina laluan pejalan kaki berbumbung.

''Bagi penyewa gerai, Jabatan Perhutanan akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati mereka tidak menjalankan perniagaan sepatutnya tetapi menyewakan gerai tersebut kepada warga negara asing," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

Sunday, August 23, 2009

Landasan Kembar Majukan Perlis

PADANG BESAR 23 Ogos - Pembangunan ekonomi Perlis akan menjadi lebih pesat apabila siapnya Projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar tahun 2013 nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, pembangunan yang akan diterima hasil kemajuan projek itu nanti akan turut melonjakkan lagi pertumbuhan semasa ekonomi negeri.

Buat masa ini katanya, masih banyak pihak terutama rakyat Perlis belum nampak keuntungan jangka panjang hasil projek berkenaan kerana landasan tersebut masih dalam pembinaan.

''Apabila projek landasan kereta api berkembar itu siap nanti, Perlis akan menerima banyak kesan pembangunannya, terutama yang berkaitan dengan percambahan pembangunan ekonomi rakyat sendiri.

''Dengan kata lain, bukan sahaja perjalanan menggunakan kereta api tersebut menjadi lebih cepat, tetapi ekonomi negeri ini juga akan turut berkembang dengan lebih pantas,'' jelasnya.

Md. Isa berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perisytiharan dan Penyerahan Dividen Peserta-Peserta Felcra Berhad Negeri Perlis di Dewan Felcra Lubuk Sireh di sini hari ini.

Projek pembinaan landasan kereta api moden yang dimaksudkan oleh Md. Isa itu melibatkan laluan antara Ipoh, Perak dengan Padang Besar di Perlis.

Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan projek berharga RM12.5 bilion yang dimulakan sejak Januari 2008 itu sedang dilaksanakan dengan pembinaan landasan meliputi Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Projek menyediakan landasan kereta api termoden sepanjang 329 kilometer ini terbahagi kepada dua jajaran iaitu jajaran utama dan jajaran Kedah.

Bagi jajaran utama, ia melibatkan landasan Ipoh, Perak-Butterworth, Pulau Pinang sepanjang 171 kilometer, manakala jajaran Kedah pula meliputi laluan Bukit Mertajam, Pulau Pinang-Padang Besar, Perlis sejauh 158 kilometer.

Apabila siap projek itu nanti, perjalanan kereta api Padang Besar-Kuala Kumpur Central (KL Central) cuma mengambil masa lima jam berbanding sekarang lebih 10 jam.

Menteri Besar Perlis kemudian turut mengingatkan rakyat supaya mula mengintai pelbagai peluang menarik, termasuk dalam aspek perniagaan bagi menambah pendapatan apabila projek berkenaan siap nanti.


UTUSAN MALAYSIA

Thursday, August 13, 2009

Kesepakatan Rakyat Kukuhkan Perpaduan


KANGAR - Semua kaum di seluruh negara ini akan terus menikmati perpaduan yang kukuh sekiranya seluruh anggota masyarakat mengamalkan hidup setia kawan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, nikmat ini pasti dapat dirasai oleh semua tanpa dibatasi apa-apa fahaman atau kepercayaan agama.

Menurutnya, konsep Satu Malaysia yang disarankan oleh Perdana Menteri bertepatan dengan hala tuju negara pada masa kini.

“Prinsip ini adalah satu prinsip yang mementingkan keadilan sosial meliputi semua kaum tanpa menyisihkan mana-mana pihak.

“Oleh itu, saya yakin kita pasti dapat menyahutnya sekiranya kita teruskan semangat setia kawan yang sedia terjalin selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucaptama pada Program Bicara Eksekutif Budaya ‘Satu Budaya, Satu Malaysia’ ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ di Auditorium Taman Budaya, di sini.

Hadir sama, Exco Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Abdul Jamil Saad; wakil Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Abd Malik Munip dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri, Abdul Mutalib Abdul Rahman.

Dr Md Isa berkata, dalam menuju kemajuan dan pembangunan sama ada negara atau negeri, kerajaan sentiasa berusaha menyelaraskan pembangunan agar semua dapat menikmati.

“Kerajaan turut menitikberatkan pembangunan di luar bandar agar ia selaras dengan pembangunan di kawasan bandar.

“Ini bagi memastikan penduduk di luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati kemajuan negara yang juga disumbangkan oleh mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Md Isa menasihati rakyat agar sentiasa tabah menghadapi sebarang dugaan dan cabaran yang menimpa malah tidak mudah melenting untuk menempuhinya.

:Beliau turut menggesa kakitangan awam dan swasta di negeri ini untuk memberi komitmen tinggi terhadap tugas untuk mencapai kejayaan peribadi, organisasi dan seterusnya kepada negeri.

:Katanya, keikhlasan dalam menjalankan tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan.


SINAR

YTSP Rancangan Bantu Masyarakat Memerlukan

KANGAR - Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) akan menganjurkan pelbagai program sehingga penghujung tahun ini melibatkan rakyat negeri ini melalui program yang telah dirangka lebih awal.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara program tersebut ialah bengkel selama dua hari untuk membantu pelajar yang adakan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 29 hingga 30 September ini.

Menurut baginda, ia disusuli dengan bengkel untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 28 hingga 29 Oktober ini dan program tersebut akan diadakan sepanjang hari.

“Pihak YTSP juga akan meneruskan program tahunannya seperti ‘tuition on air’ apabila mendapat penaja khas serta program Titian Kasih bersama Tuanku Raja Muda Perlis di beberapa buah sekolah di negeri ini.

“Selain itu, terdapat juga bengkel pelajar terbaik di setiap sekolah atau 'Best student of the year' sepertimana yang diperkenalkan pada tahun lalu,” titah baginda merangkap Pengerusi YTSP.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima taklimat perancangan aktiviti YTSP bagi suku keempat dan terakhir bagi tahun ini di Istana Arau, di sini.

Titah baginda, selain memberi fokus kepada aspek pendidikan akademik dan membantu membina modal insan yang mendapat kerjasama dan komitmen penuh Jabatan Pelajaran negeri serta sekolah-sekolah di seluruh negeri ini, YTSP juga akan meneruskan aktiviti membantu golongan memerlukan.

"Ini termasuklah bantuan membiayai kos pembedahan katarak mata dan sebelum penghujung tahun ini juga YTSP bercadang untuk menyumbangkan beberapa penapis air (‘water filter’) kepada beberapa rumah dan badan amal di negeri ini.

Di samping itu, titah baginda, sumbangan berupa beras bersempena Ramadan juga turut akan disampaikan kepada penerima yang sudah disenaraikan.

YTSP juga akan meneruskan dari masa ke semasa program khidmat komuniti rakyatnya dengan kerjasama Rejimen 504 Askar Wataniah untuk terus memberi pendidikan serta tunjuk ajar kepada masyarakat umum terutama di kawasan luar bandar.

Program itu adalah bagi memberi didikan kepada masyarakat agar membuat persiapan awal menghadapi sebarang bencana alam yang tidak diduga termasuklah banjir, kebakaran, ribut dan tanah jerlus, titah baginda.

YTSP bercadang untuk menganjurkan Majlis Jamuan Teh Amal bagi mengutip sumbangan bersempena Festival Busana Muslim 2009 di ibu negara pada 24 November ini.

Pihak yayasan juga sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan satu pameran seni lukis ‘1001 Malaysian Artists’ juga di ibu negara dan pada masa ini ia masih di tahap perbincangan.


SINAR

Wednesday, August 5, 2009

Bekalan Gula Pulih Sebelum Ramadan

KANGAR 5 Ogos - Kerajaan memberi jaminan bekalan gula di seluruh Perlis yang kini ditahap kritikal akan kembali normal sebelum Ramadan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Hal Ehwal Wanita, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan dan Tugas-Tugas Khas negeri, Mansor Jusoh berkata, jaminan itu diberikan oleh para pemborong dan pengedar bahan keperluan itu.

Selain pemborong dan pengedar katanya, jaminan bekalan turut disahkan akan kembali stabil oleh Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. (Kilang Gula Felda Perlis).

''Saya telah mengadakan pertemuan dengan para pemborong, pengedar dan pembekal utama (pengilang) gula. Pemborong telah mengambil 60 tan (6,000 kilogram) gula untuk keperluan pasaran tempatan.

''Jumlah itu akan diedarkan berperingkat-peringkat kepada para peruncit. Mereka memberi jaminan bekalan gula di kedai runcit pulih sepenuhnya sebelum puasa (Ramadan dijangka bermula 22 Ogos) nanti,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mansor berkata demikian ketika mengulas masalah bekalan gula di negeri ini yang telah mencapai tahap tiada bekalan di pasaran sejak tiga minggu lalu.

Ditanya mengapa masalah berlaku, Mansor berkata, ia disebabkan pemborong tidak mendapat bekalan yang cukup dari kilang gula di Seberang Prai, Pulau Pinang dan dari kilang gula di Padang Terap, Kedah.

''Ekoran bekalan dari kilang di Kedah dan Pulau Pinang tidak mencukupi, ia menyebabkan bekalan gula kepada pengguna di negeri ini kehabisan.

''Sebenarnya, Kilang Gula Felda Perlis mampu menyediakan bekalan secukupnya kepada pengguna di negeri ini tanpa perlu mendapatkan bekalan dari kilang di Kedah dan Pulau Pinang.

''Namun begitu, Kilang Gula Felda Perlis tidak boleh mengeluarkan bekalan bagi seluruh Perlis kerana terikat dengan kontrak bekalan yang turut melibatkan pengilang di Padang Terap dan Seberang Prai," jelasnya.

Malaysia mempunyai empat kilang gula iaitu di Shah Alam (Selangor), Seberang Prai (Pulau Pinang), Padang Terap (Kedah) dan Chuping (Perlis).

Malaysia juga mempunyai satu ladang tebu gula seluas 4,800 hektar di Chuping, Perlis.


UTUSAN MALAYSIA