Monday, July 5, 2010

Tingkatkan Infrastruktur Pengangkutan - Raja Muda

KANGAR 3 Julai - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu sistem pengangkutan dan jalan raya di Perlis ditingkatkan bagi melonjakkan proses pembangunan ekonomi negeri ini.

Titah baginda, sudah tiba masanya sebuah terminal bas bersepadu dibina bagi menambah baik sistem pengangkutan di negeri ini.

Bertitah merasmikan Jalan Dato' Ali Ahmad di sini hari ini, baginda mahu pembinaan jalan masuk ke Taman Teknologi Tinggi Ulu Pauh iaitu sebuah kawasan perindustrian baru diwujudkan segera.

Sebelum ini, Jalan Dato' Ali Ahmad, sempena nama bekas Menteri Besar Perlis keenam, yang berusia lebih dua dekad itu dikenali sebagai Jalan Behor Temak-Kuala Perlis kerana ia menghubungkan Behor Temak dan pekan Kuala Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kemudahan di lebuh raya Kuala Perlis-Changlun juga perlu ditingkatkan termasuk membangunkan kawasan rehat dan rawat manakala lampu jalan perlu ditambah.

Baginda berharap kemudahan di lebuh raya Kuala Perlis-Changlun, kemudahan jalan di sekitar pekan sempadan di Padang Besar ditingkatkan dan pelaksanaan projek jalan raya Arau-Kodiang dipercepatkan.

Peningkatan infrastruktur pengangkutan dan jalan itu akan memberi gambaran dan imej baik kepada para pelancong dan pelabur, titah baginda.

BERNAMA

Sunday, July 4, 2010

Keluarga Mesti Pantau Aktiviti Mahasiswa - Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan beramah mesra dengan pelajar baru pada Program Sambutan Siswa Siswi Bagi Sidang Akademik 2010/2011 di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis, Ulu Pauh, Arau, Perlis, semalam.


ARAU 4 Julai - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu setiap mahasiswa dipantau oleh keluarga masing-masing secara berjadual bagi memastikan golongan itu cemerlang akademik dan sifar masalah sosial.

Titah baginda, pemantauan dari jauh oleh keluarga mesti dilaksanakan secara serius supaya golongan tersebut benar-benar muncul sebagai graduan terhebat dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan negatif.

"Setelah anak-anak masuk universiti, kita sebagai ibu bapa wajarlah memotivasikan mereka. Salah satu daripadanya ialah memastikan penuntut di universiti tidak terlibat dalam sebarang kumpulan yang tidak baik seperti militan.

"Ibu bapa kenalah memantau anak-anak dari semasa ke semasa agar mereka tidak terbabit dalam kumpulan yang boleh merosakkan diri sendiri dan akademiknya," titah baginda.

Baginda membuat peringatan itu sewaktu bertitah merasmikan Majlis Taklimat Ibu Bapa sempena Program Sambutan Siswa Siswi Bagi Sidang Akademik 2010/2011 di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Ulu Pauh di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor Unimap turut berangkat ke majlis berkenaan.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap turut menasihatkan ibu bapa supaya menghubungi pihak Unimap bagi mendapatkan pelbagai maklumat berhubung kedudukan semasa anak masing-masing.

"Suka juga diingatkan kepada ibu bapa, jangan sesekali meminjam daripada ceti haram atau ah long untuk membiayai persekolahan anak-anak kerana risiko sebagai peminjam terlalu besar," ujarnya.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan penuntut Unimap agar tidak membudayakan menyewa kenderaan seperti kereta dan motosikal untuk aktiviti sosial, terutama hujung minggu kerana dibimbangi terlibat dengan nahas jalan raya dan gejala tidak sihat.

"Penuntut juga janganlah pula terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah dan pergaulan bebas. Pada masa yang sama, di Unimap kita mesti menentukan universiti ini bebas daripada masalah perkauman.

"Kami di Unimap berusaha menggunakan pelbagai cara untuk meletakkan mahasiswa semua kaum seperti satu keluarga. Sebab itulah kami menempatkan mahasiswa pelbagai bangsa untuk berkongsi bilik," titah baginda.

UTUSAN MALAYSIA

Friday, June 4, 2010

Bangun segera Kompleks Halal Hub Park – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima cenderamata daripada Baharom Mahusin (kanan) selepas pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Dewan 2020, Kangar, semalam.

KANGAR 4 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu kompleks Halal Hub Park di Padang Besar berharga RM10.7 juta dibangunkan segera bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

Titah baginda, langkah itu wajar untuk memenuhi strategi pasaran semasa terutama bagi membolehkan produk halal Malaysia lebih awal memasuki pasaran negara Timur Tengah.

Tindakan segera, titah baginda, perlu kerana ia merupakan satu peluang terbaik bagi Perlis sendiri untuk dikenali dunia sebagai pusat halal serantau yang berskala besar.

“Beta difahamkan pelaksanaan projek hab halal di Perlis mengalami kelewatan disebabkan kerja-kerja awal tergendala ekoran isu penyelesaian tanah dengan pengusaha asas di tapak cadangan.

“Bagaimanapun, isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya dan pelaksanaan projek Fasa 1 bagi keluasan 11 hektar dijangka siap November ini,” titah baginda ketika melancarkan Kempen 1Malaysia 1Halal di Dewan 2020 di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Abdul Malik Husin dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin hadir sama pada majlis tersebut.

Jelajah kempen ini singgah di Perlis sebagai lokasi pertama di peringkat negeri dan adalah lanjutan kejayaan program sulungnya di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Raja Muda Perlis percaya peruntukan RM70 yang dipohon oleh kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.

Baginda menambah, pembangunan Halal Hub Park bukan sahaja akan memberi kesan yang amat positif kepada rakyat negeri ini, tetapi kepada kerajaan negeri sendiri.

Salah satu daripada kesan positif kepada rakyat yang dimaksudkan oleh baginda itu termasuklah peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan limpahan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menyediakan produk sokongan.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin menyarankan supaya institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan turut menyumbang kepakaran dan teknologi pendidikan dalam usaha meningkatkan inovasi dan nilai komersial halal sedia ada.

Baginda berharap agar aspek bioteknologi diberikan tumpuan sebaik mungkin kerana penerokaan dalam bidang itu merupakan peluang pelaburan baru yang tidak wajar dipandang ringan.

“Sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan, penjenamaan dan tanda ‘Halal Malaysia’ di produk-produk yang dihasilkan dari Perlis juga akan mencerminkan kesucian tatacara pembuatan halal menurut Islam dan menjamin kualiti barangan yang dieksport.

“Ia juga sekali gus dapat meningkatkan tarikan negeri ini sebagai satu lagi pusat aktiviti komersial yang seterusnya meningkatkan daya saing negara sebagai pusat makanan halal dunia,” titah baginda.

UTUSAN MALAYSIA

Saturday, May 15, 2010

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU



Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-67

DULI YANG MAHA MULIA TUANKU RAJA PERLIS


- Sedekat Bertakhta Raja Berdaulat, Rakyat Sejahtera Negeri Berkat -

Thursday, May 13, 2010

Perlis: Beri 'layanan yang sama'

PUTRAJAYA 12 Mei - Perlis juga mahu dimajukan seperti Wilayah Iskandar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sains dan Teknologi, Pembangunan Usahawan dan Hubungan Antarabangsa Perlis Datuk Seri DiRaja Syed Razlan Jamalullail.

Bercakap kepada Bernama di Birmingham baru-baru ini, Syed Razlan berkata, satu kehendak politik yang sama kuat diperlukan bagi memajukan negeri Perlis, sama seperti yang dilakukan terhadap sebahagian wilayah Johor itu.

Syed Razlan ditemui di luar Seminar mengenai "Peluang Perdagangan dan Pelaburan dalam Kejuruteraan Maju dan Industri Sains Hayat di Malaysia", yang diadakan di pinggir bandar London itu.

Walau pun keluasannya satu pertiga dari Wilayah Iskandar, katanya Perlis juga harus mendapat layanan seperti wilayah ekonomi itu kerana ia mempunyai semua kemudahan yang setanding.

Malah, Perlis juga berjiran dengan sebuah negara yang sedang berkembang pesat iaitu Thailand, seperti juga Johor dengan Singapura.

Katanya, Perlis lebih mudah dihubungkan ke negara jiran itu melalui jalan darat, malah boleh melepasi ke negara-negara Indochina yang lain yang bersempadan dengan Thailand, melalui laluan yang sama.

Perlis dihubungkan dengan laluan kereta api ke Singapura di selatan dan ke Bangkok, Thailand di sebelah utara.

Lebuh Raya Utara-Selatan juga menghubungkan Kuala Lumpur dengan Padang Besar, Perlis di sempadan Thailand.

Antara projek berkaitan pengangkutan yang telah dilaksanakan ialah Projek Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun, sejauh 38 kilometer dari Kuala Perlis ke Lebuh Raya Utara-Selatan.

Projek Lebuh Raya Kuala Perlis-Kepala Batas, Kedah juga telah dilaksanakan bagi menghubungkan Perlis dan Lapangan Terbang Alor Setar.

Adun Puah itu berkata, Perlis juga mempunyai pelabuhan persisiran pantai sendiri iaitu Pelabuhan Kuala Perlis di mana pelabuhan itu dihubungkan dengan Pelabuhan Satun, di Thailand.

Katanya, kerja-kerja untuk membangun Terminal Kargo Pendalaman (ICD) sedang dilaksanakan di Padang Besar bagi menjadikannya sebuah pelabuhan yang lengkap daripada segi kemudahan.

Negeri kecil itu boleh dihubungkan melalui udara dengan dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah.

Syed Razlan berkata, terdapat begitu banyak peluang pelaburan di negeri itu berlatarkan sumber semulajadi, tenaga pekerja tempatan yang murah dan kemudahan kawasan industri.

Katanya, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis telah menentukan beberapa tempat strategik untuk dijadikan kawasan industri yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur.

Bekalan elektrik tanpa gangguan dibekalkan oleh Tenaga Nasional Bhd dengan kuasa elektrik dijana melalui Sistem Grid Nasional.

Penjana kuasa bebas (IPP) TTPC di Sungai Baru, Kuala Perlis itu sedang mengeluarkan kuasa 600MW.

Syed Razlan berkata, terdapat peluang pelaburan yang menguntungkan di negeri itu seperti industri berasaskan sumber.

Bernama

Thursday, May 6, 2010

Tuesday, March 23, 2010