Tuesday, November 9, 2010
Pendawaian Baru Elektrik di Kedah, Perlis
Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, langkah itu diambil untuk meringankan beban mangsa bencana alam, terutama golongan miskin yang terdiri daripada petani dan buruh kampung yang sedang dihimpit kesusahan.
Katanya, MBM melakukan kerja amal itu secara percuma dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan untuk membantu kumpulan sasar secara berjadual.
"Kementerian bersetuju untuk membekalkan tenaga mahir dalam sistem pendawaian elektrik untuk menyertai skuad sukarelawan MBM membaiki atau membuat pendawaian semula rumah mangsa banjir.
"Tenaga mahir yang dibekalkan kementerian itu terdiri daripada pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang mengikuti pengajian pendawaian elektrik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mengenai tenaga pakar yang akan menyertai pasukan itu pula, Mohamed Maliki memberitahu, MBM menyediakan tenaga pakar dalam bidang berkenaan, terutama yang melibatkan kontraktor dalam bidang berkaitan.
Menyentuh cara membantu mangsa banjir itu pula, beliau memberitahu, pihaknya akan memberikan bantuan berkaitan berdasarkan cadangan yang diberi oleh kerajaan negeri atau bilik gerakan banjir negeri.
"Kerajaan negeri atau bilik gerakan banjir negeri mempunyai rekod tepat berhubung rumah yang rosak dan perlu diberi bantuan untuk membaiki sistem pendawaian elektrik di rumah mangsa banjir," katanya.
UTUSAN MALAYSIA - 10/11/2010
Kerajaan Negeri Buat Persediaan
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, antara langkah itu ialah dengan tidak menghabiskan stok bekalan yang disumbangkan pihak tertentu kepada bilik gerakan banjir di sini.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih aktif mengedarkan bantuan dan sumbangan kepada semua mangsa banjir di negeri ini sama ada yang berpindah ke pusat pemindahan atau yang menumpang di rumah saudara.
“Sehingga kini, agihan bantuan dan sumbangan masih aktif dilakukan sukarelawan banjir berasaskan bekalan yang ada.
“Bagaimanapun, kita akan menyimpan sebahagian daripada stok bekalan yang ada sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua nanti,” katanya selepas melancarkan Tabung bantuan bencana banjir Negeri Perlis 2010, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Hadir sama, Speaker DUN, Datuk Yazid Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Abd Hamid.
Md Isa berkata, kutipan dari tabung bencana itu sebagai persediaan menghadapi kejutan banjir untuk masa depan.
Katanya, semua pihak termasuk ketua jabatan, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin masyarakat dan badan sukarela harus mengambil inisiatif melancarkan tabung berkenaan di peringkat masing-masing yang hanya akan dipusatkan di bawah satu tabung bantuan bencana banjir 2010.
“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus menyumbang ke nombor akaun 09020004202051 atas nama Bendahari Negeri menerusi akaun CIMB Cawangan Kangar.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada Perlis dan sangat mengalu-alukan lebih banyak sumbangan disalurkan demi memenuhi keperluan mangsa.
“Banjir kali ini meninggalkan kesan yang perit kepada semua. Bukan sahaja kepada mangsa, malah turut membabitkan pasukan penyelamat kerana hujan di luar jangkaan.
“Justeru, diharap semua pihak sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi banjir yang akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
SINAR HARIAN - 10/11/2010
NCIA Bagi Bantuan Kemanusiaan
Bantuan kemanusiaan berbentuk barang keperluan dan wang itu disampaikan kepada mangsa banjir di daerah yang teruk dilanda banjir.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, sumbangan berjumlah hampir RM90,000 itu merangkumi makanan asas seperti biskut, susu, air mineral dan minuman milo.
Menurutnya, bantuan makanan dan minuman itu dibawa khas dari ibu pejabat NCIA ke pusat pemindahan mangsa banjir di Kedah dan Perlis sejak 4 November lalu.
“Kita turut mengagihkan bantuan di lima daerah di Kedah iaitu di Kota Setar, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Kubang Pasu.
“Pihak NCIA memilih untuk menyumbangkan bekalan makanan kepada mangsa banjir ini kerana, kami percaya dalam keadaan kecemasan warga emas dan kanak-kanak tidak boleh terputus bekalan makanan yang berkhasiat serta air minuman yang bersih.
“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kami memberikan bantuan segera yang termampu kepada penduduk yang menjadi mangsa banjir di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan bantuan dapat diberi secepat mungkin, NCIA sudah menyalurkannya melalui agensi yang terlibat dalam operasi banjir di setiap negeri.
“Bantuan kemanusiaan di negeri ini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis untuk disalurkan ke kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan yang paling teruk dilanda banjir.
Manakala di Kedah, NCIA menyerahkan bantuan itu kepada Pengerusi Mada, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan disalurkan melalui jentera Mada,” katanya.
SINAR HARIAN - 10/11/2010
Friday, October 29, 2010
Konsert Gegaria Kangar
SEGALA kini sudah tersedia menanti ketibaan pengunjung. Selepas menjelajah beberapa negeri sebelum ini, tibalah pula giliran negeri di utara tanah air digegarkan dengan Karnival Gegaria Harian Metro 2010 yang berlangsung pada 30 dan 31 Oktober ini di pekarangan Stadium Utama Negeri Perlis, Perlis.Tidak dinafikan populariti Karnival Gegaria Harian Metro begitu mantap apabila berupaya mengundang kehadiran lebih 60,000 pembaca akhbar harian nombor satu negara ini setiap kali ia diadakan.
Jelas, penganjuran karnival ini sangat ditunggu-tunggu masyarakat setempat kerana menampilkan kepelbagaian di dalamnya.
Selain hadir berkunjung ke gerai penaja dan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) yang disediakan, mereka juga teruja mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan.
Inilah juga peluang untuk mereka bertemu artis kesayangan dalam konsert yang menjadi kesukaan ramai.
Menariknya, aktiviti yang dijalankan menerusi penganjuran Karnival Gegaria Harian Metro dipecahkan kepada pelbagai cabang bagi memenuhi selera semua peringkat umur. Penggemar permotoran misalnya boleh memenuhi selera mereka dengan menyaksikan pameran motosikal dan kereta edisi terbaru serta yang sudah diubah suai.
Manakala penggemar budaya pula boleh menyaksikan persembahan kebudayaan yang turut diadakan. Peminat yang sukakan gaya hidup sihat pula boleh menyertai pertandingan futsal dan bola jaring sementara yang sukakan kecantikan bolehlah mencuba bakat dalam pertandingan tata rias wajah.
Tidak ketinggalan diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pertandingan nyanyian Metro Idol bagi memberi peluang kepada pembaca menunjukkan bakat terpendam mereka.
Pameran 20 Tahun Harian Metro turut diadakan bagi memberi peluang semua pihak terutama golongan muda menyelami sejarah awal permulaan akhbar ini.
Dalam berhibur, aspek keagamaan tidak dilupakan apabila Karnival Gegaria Harian Metro 2010 juga menampilkan Majlis Diskusi Ad-din yang membicarakan pelbagai topik berkaitan agama Islam.
Sementara itu, Konsert Gegaria yang akan berlangsung esok, jam 9 malam pula menampilkan barisan artis hebat iaitu Nash (Lefthanded), kumpulan Saujana, Unic, Is (Firdaus) dan Akbar Azmi. Mereka akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular bagi menghiburkan peminat di sana.
Nash berkata, sudah lama dia tidak mengadakan persembahan terbuka di hadapan peminatnya di sekitar utara. Justeru, dia tidak melepaskan kesempatan mendendangkan rangkaian lagu-lagu terbaiknya.
“Sangat teruja rasanya kerana sudah lama saya tak muncul di sana. Saya akan menyampaikan lagu-lagu popular antaranya Tiada Lagi Kidungmu, Debunga Wangi dan Pada Syurga Diwajahmu. Saya harap peminat dapat hadir beramai-ramai untuk memeriahkan konsert ini,” katanya.
Kumpulan Saujana yang sudah sekian lama menyepikan diri akan membuat kemunculan istimewa bagi menghiburkan peminat yang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada mereka.
“Kami begitu terharu apabila Harian Metro memberi peluang untuk bertemu peminat di sana. Justeru, kami takkan menghampakan peminat yang datang dengan persembahan lagu-lagu nostalgia kami iaitu Suci Sekeping Hati, Patah Hati, Insya’Allah dan Keluarga Bahagia,” kata ketuanya Suffian Amrin.
Sebelum itu, pada sebelah petangnya peminat boleh bertemu dan beramah mesra dengan semua artis di gerai Harian Metro dan gerai penaja utama, Celcom.
Sesi yang bermula pada jam 5 petang ini akan dihadiri semua artis terbabit.
Mereka akan turut disertai pelakon yang sedang meningkat naik, Mas Muharni yang ketika ini sedang menjalani penggambaran drama di Perlis.
Monday, July 5, 2010
Tingkatkan Infrastruktur Pengangkutan - Raja Muda
KANGAR 3 Julai - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu sistem pengangkutan dan jalan raya di Perlis ditingkatkan bagi melonjakkan proses pembangunan ekonomi negeri ini.Titah baginda, sudah tiba masanya sebuah terminal bas bersepadu dibina bagi menambah baik sistem pengangkutan di negeri ini.
Bertitah merasmikan Jalan Dato' Ali Ahmad di sini hari ini, baginda mahu pembinaan jalan masuk ke Taman Teknologi Tinggi Ulu Pauh iaitu sebuah kawasan perindustrian baru diwujudkan segera.
Sebelum ini, Jalan Dato' Ali Ahmad, sempena nama bekas Menteri Besar Perlis keenam, yang berusia lebih dua dekad itu dikenali sebagai Jalan Behor Temak-Kuala Perlis kerana ia menghubungkan Behor Temak dan pekan Kuala Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kemudahan di lebuh raya Kuala Perlis-Changlun juga perlu ditingkatkan termasuk membangunkan kawasan rehat dan rawat manakala lampu jalan perlu ditambah.
Baginda berharap kemudahan di lebuh raya Kuala Perlis-Changlun, kemudahan jalan di sekitar pekan sempadan di Padang Besar ditingkatkan dan pelaksanaan projek jalan raya Arau-Kodiang dipercepatkan.
Peningkatan infrastruktur pengangkutan dan jalan itu akan memberi gambaran dan imej baik kepada para pelancong dan pelabur, titah baginda.
BERNAMA
Sunday, July 4, 2010
Keluarga Mesti Pantau Aktiviti Mahasiswa - Raja Muda Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan beramah mesra dengan pelajar baru pada Program Sambutan Siswa Siswi Bagi Sidang Akademik 2010/2011 di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis, Ulu Pauh, Arau, Perlis, semalam.Titah baginda, pemantauan dari jauh oleh keluarga mesti dilaksanakan secara serius supaya golongan tersebut benar-benar muncul sebagai graduan terhebat dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan negatif.
"Setelah anak-anak masuk universiti, kita sebagai ibu bapa wajarlah memotivasikan mereka. Salah satu daripadanya ialah memastikan penuntut di universiti tidak terlibat dalam sebarang kumpulan yang tidak baik seperti militan.
"Ibu bapa kenalah memantau anak-anak dari semasa ke semasa agar mereka tidak terbabit dalam kumpulan yang boleh merosakkan diri sendiri dan akademiknya," titah baginda.
Baginda membuat peringatan itu sewaktu bertitah merasmikan Majlis Taklimat Ibu Bapa sempena Program Sambutan Siswa Siswi Bagi Sidang Akademik 2010/2011 di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Ulu Pauh di sini hari ini.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor Unimap turut berangkat ke majlis berkenaan.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap turut menasihatkan ibu bapa supaya menghubungi pihak Unimap bagi mendapatkan pelbagai maklumat berhubung kedudukan semasa anak masing-masing.
"Suka juga diingatkan kepada ibu bapa, jangan sesekali meminjam daripada ceti haram atau ah long untuk membiayai persekolahan anak-anak kerana risiko sebagai peminjam terlalu besar," ujarnya.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan penuntut Unimap agar tidak membudayakan menyewa kenderaan seperti kereta dan motosikal untuk aktiviti sosial, terutama hujung minggu kerana dibimbangi terlibat dengan nahas jalan raya dan gejala tidak sihat.
"Penuntut juga janganlah pula terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah dan pergaulan bebas. Pada masa yang sama, di Unimap kita mesti menentukan universiti ini bebas daripada masalah perkauman.
"Kami di Unimap berusaha menggunakan pelbagai cara untuk meletakkan mahasiswa semua kaum seperti satu keluarga. Sebab itulah kami menempatkan mahasiswa pelbagai bangsa untuk berkongsi bilik," titah baginda.
UTUSAN MALAYSIA
Friday, June 4, 2010
Bangun segera Kompleks Halal Hub Park – Raja Muda Perlis
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima cenderamata daripada Baharom Mahusin (kanan) selepas pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Dewan 2020, Kangar, semalam.KANGAR 4 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu kompleks Halal Hub Park di Padang Besar berharga RM10.7 juta dibangunkan segera bagi memacu pembangunan ekonomi negara.
Titah baginda, langkah itu wajar untuk memenuhi strategi pasaran semasa terutama bagi membolehkan produk halal Malaysia lebih awal memasuki pasaran negara Timur Tengah.
Tindakan segera, titah baginda, perlu kerana ia merupakan satu peluang terbaik bagi Perlis sendiri untuk dikenali dunia sebagai pusat halal serantau yang berskala besar.
“Beta difahamkan pelaksanaan projek hab halal di Perlis mengalami kelewatan disebabkan kerja-kerja awal tergendala ekoran isu penyelesaian tanah dengan pengusaha asas di tapak cadangan.
“Bagaimanapun, isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya dan pelaksanaan projek Fasa 1 bagi keluasan 11 hektar dijangka siap November ini,” titah baginda ketika melancarkan Kempen 1Malaysia 1Halal di Dewan 2020 di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Abdul Malik Husin dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin hadir sama pada majlis tersebut.
Jelajah kempen ini singgah di Perlis sebagai lokasi pertama di peringkat negeri dan adalah lanjutan kejayaan program sulungnya di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Raja Muda Perlis percaya peruntukan RM70 yang dipohon oleh kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.
Baginda menambah, pembangunan Halal Hub Park bukan sahaja akan memberi kesan yang amat positif kepada rakyat negeri ini, tetapi kepada kerajaan negeri sendiri.
Salah satu daripada kesan positif kepada rakyat yang dimaksudkan oleh baginda itu termasuklah peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan limpahan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menyediakan produk sokongan.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin menyarankan supaya institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan turut menyumbang kepakaran dan teknologi pendidikan dalam usaha meningkatkan inovasi dan nilai komersial halal sedia ada.
Baginda berharap agar aspek bioteknologi diberikan tumpuan sebaik mungkin kerana penerokaan dalam bidang itu merupakan peluang pelaburan baru yang tidak wajar dipandang ringan.
“Sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan, penjenamaan dan tanda ‘Halal Malaysia’ di produk-produk yang dihasilkan dari Perlis juga akan mencerminkan kesucian tatacara pembuatan halal menurut Islam dan menjamin kualiti barangan yang dieksport.
“Ia juga sekali gus dapat meningkatkan tarikan negeri ini sebagai satu lagi pusat aktiviti komersial yang seterusnya meningkatkan daya saing negara sebagai pusat makanan halal dunia,” titah baginda.
UTUSAN MALAYSIA