Monday, September 3, 2012

Pesara terkilan guna Internet 14 hari, terima bil RM273.95

KANGAR - Terkilan dan tidak berpuas hati, itu luahan seorang pesara kakitangan kerajaan apabila dia dikehendaki membayar sejumlah bil kepada sebuah syarikat telekomunikasi.

Eniom a/l Endin Sing, 59, berkata, dia kecewa setelah dikehendaki membayar bil lebih RM200 walaupun hanya menggunakan perkhidmatan Internet terbabit kira-kira 14 hari.

Menurutnya, dia menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit sejak 40 tahun lalu dan tidak pernah mengalami masalah seperti itu sebelum ini. Namun, setelah dia bersara dan berpindah ke Kok Klang Mei lalu penggunaan Internet di kediamannya sering kali terputus melebihi 10 hari.

"Sebelum ini perkhidmatan Internet terbabit didaftarkan di atas nama anak perempuan saya, namun sebelum berpindah ke Kok Klang, saya menukarkan nama pendaftaran terbabit kepada nama saya.

“Akhir bulan Mei saya hanya sempat menggunakan Internet selama tiga hari sahaja, selepas itu saya tidak boleh menggunakannya langsung.

“Saya ke syarikat terbabit lebih empat kali dan membuat aduan menggunakan telefon sebanyak tiga kali, namun masalah ini masih berlaku sehingga kini. Disebabkan saya tidak menggunakan perkhidmatan itu saya mengambil keputusan untuk tidak membayarnya, " katanya.

Eniom berkata, setelah membuat aduan Mei lalu, kakitangan syarikat terbabit datang dan melakukan pemeriksaan. Dia kemudiannya dimaklumkan berlaku kerosakan di tiang telefon.

Menurutnya, apa yang mengecewakannya lagi dia hanya sempat menggunakan perkhidmatan Internet terbabit selama 10 hari sahaja, kemudiannya ia tidak boleh digunakan sehingga kini setelah syarikat terbabit menamatkan perkhidmatan itu kerana dia tidak menjelaskan pembayaran bil.

“Saya bukanya tidak mahu menjelaskan bil, tetapi saya hanya menggunakan perkhidmatan terbabit hanya tiga hari, namun bil yang sampai ke tangan saya lebih RM100.

“Yang terbaru saya baru menerima bil sebanyak RM273.95, jika dikira kembali saya baru menggunakan perkhidmatan terbabit lebih kurang 14 hari. Baru-baru ini semasa saya ke syarikat terbabit mereka berjanji untuk memberi saya rebat," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya rebat yang dijanjikan tidak ditunaikan apabila dia dikehendaki membayar bil seperti yang tertera dalam surat yang diterimanya sebelum ini.

SINAR HARIAN

Hindari Budaya LGBT Demi Melahirkan Anak Bangsa Merdeka

KANGAR 31 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (gambar) meminta rakyat menghindari budaya negatif seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pembuangan bayi dan demonstrasi jalanan demi melahirkan anak bangsa yang merdeka daripada segi rohani dan jasmani.

Sehubungan itu, katanya, budaya songsang tersebut perlu ditentang sekeras-kerasnya oleh masyarakat.

"Budaya negatif ini boleh merosakkan imej negara sebagai sebuah negara yang merdeka," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Perlis di Taman Merdeka, di sini hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sambutan Hari Kemerdekaan bertemakan 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati itu juga disertai kira- kira 3,000 rakyat Perlis pelbagai bangsa.

Pada masa sama, Md. Isa meminta generasi muda mendalami sejarah supaya tidak melupakan erti sebenar kemerdekaan.

Katanya, generasi muda perlu banyak belajar daripada sejarah supaya tidak lupa dengan perjuangan generasi terdahulu.

"Mereka tidak akan dapat mengambil iktibar bagaimana generasi terdahulu yang dijajah dan ditindas akibat perpecahan bangsa serta perebutan kuasa," katanya.

Beliau berkata, generasi yang buta sejarah akan menganggap kemerdekaan yang dikecapi hari ini akan kekal selama-lamanya.

Sedangkan katanya, generasi yang menghayati sejarah akan sentiasa berusaha mengelak kesilapan terdahulu supaya nikmat kemerdekaan akan terus berkekalan.

"Pemahaman ini akan menjadikan generasi muda bersedia menjadi pewaris bangsa yang berupaya meneruskan kemerdekaan yang dikecapi sekarang sehingga selama-lamanya," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

JPJ Sita 6 Van

KANGAR 30 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita enam buah van penumpang yang menggunakan nombor pendaftaran negara Thailand sepanjang operasi penguatkuasaan sempadan yang diadakan di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, Padang Besar, dekat sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd. Tarmizi Ghazali berkata, van yang ditahan itu dibawa ke ibu pejabat JPJ negeri di sini kerana tidak memiliki permit masuk untuk membawa penumpang di negara ini.

Beliau berkata, van itu ditahan ketika dalam perjalanan masuk dari negara jiran menuju ke Kangar.

"Kesemua pemilik van dikenakan kompaun RM300 setiap seorang dan kenderaan itu dilepaskan selepas bayaran dibuat bagi membolehkan penumpang dihantar ke destinasi masing-masing," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi tersebut yang bermula kira-kira 8 pagi sehingga 12 tengah hari itu juga mengesan lebih 10 kesalahan yang dilakukan para pengguna jalan raya.

"JPJ turut menahan tiga buah kenderaan tempatan yang didapati melakukan pengubahsuaian tangki tambahan dipercayai bagi menjalankan aktiviti penyeludupan bahan bakar ke negara jiran," ujarnya.

Menurutnya, pemilik kenderaan terbabit diarah membuang tangki tambahan tersebut dan kenderaan mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan di Puspakom Sdn. Bhd.

DPMM Perlis Taja Utusan

FAUZI Hassan (tengah) menyerahkan tajaan akhbar Utusan Malaysia sebanyak 1,000 naskhah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 kepada Mohd. Shukri Hamad di Kangar.

KANGAR 30 Ogos - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Perlis menaja 1,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang diadakan di pekarangan Dataran Taman Merdeka, di sini pagi esok.

Yang Dipertuanya, Datuk Fauzi Hassan berkata, akhbar itu akan diagih-agihkan kepada orang ramai yang hadir pada majlis sambutan kemerdekaan.

Fauzi berkata, buat pertama kali tahun ini DPMM Perlis menaja Utusan Malaysia sempena sambutan kemerdekaan supaya orang ramai yang hadir dapat menambahkan ilmu sambil menghayati kemerderkaan negara.

''Lupakan segala perbezaan fahaman politik kerana apa yang penting rakyat perlu bersatu atas rasa nama cintakan keamanan dan menghargai kemakmuran yang dinikmati selama 55 tahun ini," katanya selepas upacara penyerahan simbolik akhbar Utusan Malaysia bersama Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Bhd., Mohd. Shukri Hamad di pejabatnya di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini hari ini.

Selain penajaan itu, katanya, ahli DPMM Perlis menyertai perbarisan pada Hari Kemerdekaan pada setiap tahun termasuk pada tahun ini.

''Ini membuktikan DPPM Perlis menghargai Hari Kemerdekaan kerana ia memberikan peluang kepada rakyat berusaha dengan lebih gigih bagi menikmati kemewahan di bumi sendiri," katanya.

Beliau berkata, seluruh jawatankuasa DPMM Perlis juga menghargai jasa kerajaan negeri yang banyak membantu ahli dengan menyediakan banyak peluang perniagaan.

Saturday, August 25, 2012

Kutip Sampah: Perkhidmatan E-Idaman di Perlis Ditamatkan

KANGAR 23 Ogos - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengambil tindakan drastik menamatkan perkhidmatan Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman), syarikat konsesi memungut serta melupuskan sampah dan sisa pepejal di negeri ini berkuatkuasa esok, kerana gagal memberikan perkhidmatan memuaskan.

Yang Dipertua MPK, Rosley Mat berkata, syarikat itu yang beroperasi sejak tiga tahun lalu melanggar perjanjian dengan melakukan lebih 26 kesalahan dalam tempoh sebulan sedangkan syarat menetapkan kesalahan tidak boleh melebihi jumlah tersebut.

"Oleh kerana kesalahan yang dilakukan melebihi 26 kes setiap bulan dan berdasarkan rekod Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bermakna syarikat itu gagal mematuhi perjanjian dan perkhidmatannya perlu dihentikan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rosley berkata, sejak September 2011 hingga Jun lepas syarikat berkenaan melakukan 1,117 kesalahan bagi kerja kutipan sampah manakala 1,829 kesalahan bagi kerja pembersihan awam.

Katanya, tempoh percubaan syarikat terbabit selama tiga tahun sepatutnya tamat 1 September ini sebelum disahkan dan diberikan konsesi perkhidmatan selama 22 tahun.

Menurut Rosley, wakil JPSPN dan syarikat telah dipanggil ke pejabatnya hari ini untuk memaklumkan perkara tersebut dan berharap syarikat akan mematuhi arahan menghentikan perkhidmatan, mulai esok.

"MPK tidak ada pilihan lain kecuali menghentikan serta-merta perkhidmatan syarikat terbabit di negeri ini, mulai esok," katanya sambil menambah buat sementara waktu, perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam di negeri itu akan dikendalikan sebuah syarikat swasta berpengalaman.

Jelas beliau kos yang dikenakan syarikat itu juga lebih rendah dan tidak membebankan MPK.

Setiap hari sebanyak 280 tan metrik sampah dihasilkan penduduk Perlis, katanya.

BERNAMA

Wednesday, August 8, 2012

Elak Guna Bahan Polistirena

KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu bahan polistirena tidak lagi digunakan pada majlis baginda mulai sekarang kerana ia boleh membawa kemudaratan.

Baginda juga berharap jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah turut mengambil langkah yang sama demi kebaikan kesihatan.

Bertitah merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan sempena majlis berbuka puasa dan solat sunat Tarawih di Istana Arau di sini malam tadi, baginda mencadangkan bahan polistirena digantikan dengan plastik yang boleh terurai secara biologi termasuk bungkusan kertas yang lebih mudah dilupuskan.

“Negara maju tidak menggunakan bahan polistirena sebaliknya menggunakan bungkusan kertas,” titah baginda.

Satu kajian menunjukkan bahawa bahan stirena dan benzin yang terdapat dalam polistirena boleh membawa kesan buruk kepada manusia termasuk gangguan sistem saraf di samping kesan kepada alam sekitar melalui penipisan lapisan ozon dan ia tidak boleh dikitar semula.

Tuanku Syed Faizuddin turut menekankan bahaya ancaman demam denggi kerana ia dikesan berlaku di beberapa lokasi di Perlis.

“Muka bumi Perlis berada dalam jangkauan semua agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkuasa tempatan dan tiada sebab epidemik ini tidak dapat ditangani dengan segera,” titah baginda.

Menurut baginda, pelbagai pihak perlu lebih serius dan komited dalam isu gejala demam denggi di samping isu kebersihan awam dan penguatkuasaan supaya ia dapat diselesaikan sehingga ke akar umbi.

Majlis itu dihadiri lebih 100 tetamu yang terdiri daripada ketua jabatan, pemimpin institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta wakil media.

Mereka turut menyertai sesi percambahan minda berkaitan pembangunan negeri dan langkah berkesan menjaga kebersihan sebelum majlis berbuka puasa dan hasil perbincangan itu dibentangkan selepas solat sunat Tarawih.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron. 

BERNAMA

Kilang Gula Felda Bayar Zakat RM1.2j

KANGAR 8 Ogos - Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. (Kilang Gula Felda) menyampaikan zakat perniagaan RM1,292,209.90 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) malam tadi.

Zakat itu diterima oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.

Zakat itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kilang Gula Felda Perlis, Mohamad Amri Saahari @ Khuzari di Masjid Putra, Kangar di sini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah. Hadir sama Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hadhari dan Pembangunan Sunnah negeri, Japferi Othman.

UTUSAN MALAYSIA