
baca di sini :
Omaq.org
KANGAR 16 April - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melahirkan rasa dukacita dengan sesetengah masyarakat yang menyalahgunakan teknologi maklumat untuk tujuan tidak berfaedah. Baginda bertitah, amalan-amalan yang tidak berfaedah itu perlu dijauhi supaya masyarakat lebih proaktif dalam menjayakan Wawasan 2020.
Bagaimanapun, titah baginda, setiap individu seharusnya membuka minda dan memanfaatkan kepelbagaian sumber maklumat sama ada dalam bentuk cetakan atau digital yang kini boleh diperoleh secara global melalui Internet dan media massa.
"Beta menyeru rakyat Perlis melaksanakan tanggungjawab dengan mengamalkan budaya membaca untuk menimba ilmu pengetahuan agar minda sentiasa terbuka dan tidak berada dalam kepompong penjajahan oleh mana-mana pihak," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Karnival Membaca 1Malaysia dan Pelancaran Serentak Perpustakaan Desa Projek Khas Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Raja Perlis di Perpustakaan Desa Taman Kemajuan, di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu serta Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Maglin D'Cruz.
Titah baginda, melalui pembacaan yang jitu, seseorang bebas memilih, menganalisis dan membuat penterjemahan sendiri mengenai pendapat, ilmu serta maklumat yang diperoleh.
"Pembacaan adalah santapan minda sebagaimana makanan berkhasiat yang boleh membina badan agar sihat, pembacaan bahan-bahan bermutu juga akan membina minda supaya terbuka dan pasti dapat menyumbang ke arah kebaikan dan kesempurnaan," titah baginda.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Perpustakaan Negara yang memberi perhatian terhadap perkembangan perkhidmatan perpustakaan di Perlis sehinggakan seluruh pelusuk negeri mendapat kemudahan perpustakaan.
"Oleh itu, beta menyeru penduduk Perlis supaya mengambil peluang untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan kerajaan ini (perpustakaan), bukan sahaja golongan kanak-kanak dan pelajar, malah orang dewasa untuk menambah pengetahuan bagi menghadapi cabaran dalam era globalisasi.
"Beta juga ingin menyarankan agar semua rakyat menjadikan membaca sebagai satu amalan harian bermula dari dalam keluarga masing-masing daripada membuang masa dengan sembang kosong yang tidak memberi manfaat," titah baginda.
UTUSAN MALAYSIA
KANGAR – Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jafperi Othman mahu rakyat Malaysia terutama penuntut menjadikan pergolakan politik di Mesir sebagai iktibar supaya lebih menghargai keamanan.PADANG BESAR 8 Feb.- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu bandar Padang Besar di sini dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan untuk pengunjung kerana ia berpotensi dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan.
Baginda bertitah, antara kemudahan itu termasuk membina satu hab pengangkutan yang mampu menghubungkan semua sistem pengangkutan seperti bas, teksi dan kereta api di bandar tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong.
"Kemudahan awam yang lebih bersistematik dan bersih seperti tandas-tandas awam, surau, tempat-tempat letak kenderaan serta tempat menunggu atau rehat sewajarnya diberi perhatian," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa Majlis Penyerahan Penyata Potongan Zakat Gaji 2010 di Arked Niaga di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Baitulmal Perlis, Abu Bakar Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah Perlis, Jefperi Othman; Ketua Polis Perlis, Datuk Tajudin Md. Isa dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid.
Sementara itu titah baginda, sebuah Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) yang lebih mirip Mirror Image seperti di selatan tanah air bersempadan Singapura bakal dibina di Padang Besar.
"Sungguhpun begitu saya akur ia harus dibina dengan saiz dan kapasiti lebih kecil iaitu setimpal dengan keperluan semasa dan prospek jangka panjang di sini," titah baginda.
Baginda juga mahu agar lebih banyak premis penginapan bersesuaian dibina selain sistem papan tanda tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan Thailand untuk para pengunjung antarabangsa.
Baginda memberitahu, pendapatan zakat Perlis bagi tahun lalu meningkat kepada RM39.8 juta berbanding hanya RM30 juta pada 2009.
Peningkatan itu, titah baginda adalah kerana kesedaran dan kemampuan umat Islam di negeri ini untuk membayar zakat melalui pelbagai bentuk pembayaran.
"Apa yang amat menarik melalui sistem potongan gaji, ada kakitangan kerajaan dan swasta yang membuat potongan zakat yang banyak iaitu bermula dari RM1,000 sehingga RM2,000 sebulan," titah baginda.
Namun baginda berharap pihak pengurusan Baitulmal Perlis akan dapat melipatgandakan usaha memberi kesedaran umat Islam supaya membayar zakat.
"Teruskanlah memberi penerangan dan kesedaran supaya mereka yang layak akan membayar zakat," titah baginda.
Sementara itu, baginda juga berharap agar sebuah Dana Wakaf diwujudkan pada tahun ini dengan membuat kutipan melalui program wakaf tunai.
Titah baginda, faedah program itu ialah golongan yang berpendapatan kecil juga tidak ketinggalan dan berkeupayaan untuk mewakafkan wang walaupun RM10.
"Dengan memiliki RM10, seseorang tidak akan mampu membeli tanah kubur, tapak masjid namun dengan terkumpul sejumlah wang daripada hasil wakaf tunai, RM10 yang disumbangkan secara kolektif membolehkan mereka membeli aset yang dapat digunakan untuk manfaat umat Islam dan ganjaran pahala," titah baginda.
Pada majlis tersebut sebanyak RM2.1 juta zakat potongan gaji daripada 1,856 pembayar zakat dan zakat perniagaan Etika Takaful berjumlah RM38,624 diserahkan kepada Baitulmal Perlis.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin menyerahkan cek bantuan bernilai RM25,900 daripada Baitulmal kepada 31 pelajar sekolah di negeri ini.
UTUSAN MALAYSIA