Saturday, August 25, 2012

Kutip Sampah: Perkhidmatan E-Idaman di Perlis Ditamatkan

KANGAR 23 Ogos - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengambil tindakan drastik menamatkan perkhidmatan Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman), syarikat konsesi memungut serta melupuskan sampah dan sisa pepejal di negeri ini berkuatkuasa esok, kerana gagal memberikan perkhidmatan memuaskan.

Yang Dipertua MPK, Rosley Mat berkata, syarikat itu yang beroperasi sejak tiga tahun lalu melanggar perjanjian dengan melakukan lebih 26 kesalahan dalam tempoh sebulan sedangkan syarat menetapkan kesalahan tidak boleh melebihi jumlah tersebut.

"Oleh kerana kesalahan yang dilakukan melebihi 26 kes setiap bulan dan berdasarkan rekod Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bermakna syarikat itu gagal mematuhi perjanjian dan perkhidmatannya perlu dihentikan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rosley berkata, sejak September 2011 hingga Jun lepas syarikat berkenaan melakukan 1,117 kesalahan bagi kerja kutipan sampah manakala 1,829 kesalahan bagi kerja pembersihan awam.

Katanya, tempoh percubaan syarikat terbabit selama tiga tahun sepatutnya tamat 1 September ini sebelum disahkan dan diberikan konsesi perkhidmatan selama 22 tahun.

Menurut Rosley, wakil JPSPN dan syarikat telah dipanggil ke pejabatnya hari ini untuk memaklumkan perkara tersebut dan berharap syarikat akan mematuhi arahan menghentikan perkhidmatan, mulai esok.

"MPK tidak ada pilihan lain kecuali menghentikan serta-merta perkhidmatan syarikat terbabit di negeri ini, mulai esok," katanya sambil menambah buat sementara waktu, perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam di negeri itu akan dikendalikan sebuah syarikat swasta berpengalaman.

Jelas beliau kos yang dikenakan syarikat itu juga lebih rendah dan tidak membebankan MPK.

Setiap hari sebanyak 280 tan metrik sampah dihasilkan penduduk Perlis, katanya.

BERNAMA

Wednesday, August 8, 2012

Elak Guna Bahan Polistirena

KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu bahan polistirena tidak lagi digunakan pada majlis baginda mulai sekarang kerana ia boleh membawa kemudaratan.

Baginda juga berharap jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah turut mengambil langkah yang sama demi kebaikan kesihatan.

Bertitah merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan sempena majlis berbuka puasa dan solat sunat Tarawih di Istana Arau di sini malam tadi, baginda mencadangkan bahan polistirena digantikan dengan plastik yang boleh terurai secara biologi termasuk bungkusan kertas yang lebih mudah dilupuskan.

“Negara maju tidak menggunakan bahan polistirena sebaliknya menggunakan bungkusan kertas,” titah baginda.

Satu kajian menunjukkan bahawa bahan stirena dan benzin yang terdapat dalam polistirena boleh membawa kesan buruk kepada manusia termasuk gangguan sistem saraf di samping kesan kepada alam sekitar melalui penipisan lapisan ozon dan ia tidak boleh dikitar semula.

Tuanku Syed Faizuddin turut menekankan bahaya ancaman demam denggi kerana ia dikesan berlaku di beberapa lokasi di Perlis.

“Muka bumi Perlis berada dalam jangkauan semua agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkuasa tempatan dan tiada sebab epidemik ini tidak dapat ditangani dengan segera,” titah baginda.

Menurut baginda, pelbagai pihak perlu lebih serius dan komited dalam isu gejala demam denggi di samping isu kebersihan awam dan penguatkuasaan supaya ia dapat diselesaikan sehingga ke akar umbi.

Majlis itu dihadiri lebih 100 tetamu yang terdiri daripada ketua jabatan, pemimpin institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta wakil media.

Mereka turut menyertai sesi percambahan minda berkaitan pembangunan negeri dan langkah berkesan menjaga kebersihan sebelum majlis berbuka puasa dan hasil perbincangan itu dibentangkan selepas solat sunat Tarawih.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron. 

BERNAMA

Kilang Gula Felda Bayar Zakat RM1.2j

KANGAR 8 Ogos - Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. (Kilang Gula Felda) menyampaikan zakat perniagaan RM1,292,209.90 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) malam tadi.

Zakat itu diterima oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.

Zakat itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kilang Gula Felda Perlis, Mohamad Amri Saahari @ Khuzari di Masjid Putra, Kangar di sini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah. Hadir sama Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hadhari dan Pembangunan Sunnah negeri, Japferi Othman.

UTUSAN MALAYSIA

Sunday, June 17, 2012

UiTM Arau Tubuh MyAgrosis Galak Pengeluaran Makanan

ARAU 14 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPT) kedua di negara ini yang menubuhkan Kelab Usahawan Graduan Pertanian (MyAgrosis) untuk menggalakkan siswazah terlibat dalam pengeluaran bekalan makanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, kelab MyAgrosis pertama telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 17 Disember tahun lalu di UiTM Merbok, Kedah.

Sehubungan itu, katanya, ini membuktikan kerajaan memandang serius terhadap program bagi menjana pengeluaran makanan negara.

"MyAgrosis diperkenalkan dengan harapan generasi muda yang mempunyai pendidikan tinggi meminati bidang pertanian untuk membentuk kumpulan usahawan berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global," katanya selepas majlis pelancaran Kelab MyAgrosis UiTM di Dewan Semarak, UiTM Arau, di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor UiTM Perlis, Prof. Dr. Khudzir Ismail.

Sabry berkata, 152 siswazah UiTM Arau telah menganggotai kelab yang ditubuhkan sejak dua bulan lalu itu.

"Ahli kelab juga boleh mendapatkan pinjaman tanpa penjamin dan cagaran daripada AgroBank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional," katanya.

Sabry berkata, AgroBank memberikan pinjaman RM30,000 manakala TEKUN Nasional pula RM10,000 bagi membolehkan siswazah melaksanakan projek pertanian masing-masing.

"Program kelab ini juga mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengajian Tinggi dengan memberikan latihan dan bimbingan teknikal keusahawanan pertanian kepada siswazah-siswazah di peringkat IPTA," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Ketengahkan Stesen FRIM Mata Ayer

TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menandatangani plak perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar dan Infrastruktur Kemudahan Ekopelancongan sambil diperhatikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) di FRIM Mata Ayer, Padang Besar, Perlis semalam.

PADANG BESAR 14 Jun - Keunikan Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Mata Ayer, di sini, perlu diketengahkan sebagai Warisan Kebangsaan yang secara tidak langsung dapat memperkenalkannya di rantau ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, ini kerana pengiktirafan atau keunikan yang terdapat di stesen berkenaan akan menjadikan Perlis lebih dikenali, termasuk dengan menguar-uarkannya menerusi media cetak dan elektronik.

"Ini termasuk penyediaan informasi dalam bentuk poster atau risalah mengenai pelancongan yang diletakkan di hotel-hotel bagi memberi peluang kepada pelancong melihat kemudahan dan keistimewaan yang terdapat di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar dan Infrastruktur Kemudahan Ekopelancongan di stesen tersebut di FRIM Mata Ayer, hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis bertitah, FRIM menerusi stesen itu berjaya menjalankan penyelidikan sehingga menghasilkan 71 baka pokok jati tempatan yang berpotensi untuk dikomersialkan secara berjadual.

Tuanku Syed Sirajuddin percaya dengan iklim agak unik berbanding negeri lain, Perlis yang mempunyai musim lembap serta kering dan panas begitu sesuai untuk pertumbuhan pokok jati.

"Maka tidak hairanlah, jati hidup dengan subur di negeri ini sehingga mengindahkan pemandangannya.

"Pokok jati sama ada ditanam di ladang atau tepi jalan dapat memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi menstabilkan suhu persekitaran," titah baginda.

UTUSAN MALAYSIA

Dedah Anak-Anak Dengan Aktiviti Silat

ARAU 16 Jun - Aktiviti persilatan perlu didedahkan kepada anak-anak kerana ia bukan sahaja untuk mengisi masa lapang malah dapat membentuk insan teguh jati diri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, langkah itu juga selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat melahirkan insan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

''Secara tidak langsung, melalui aktiviti silat itu juga ia akan dapat mendedahkan kepada generasi muda hari ini bahawa orang Melayu mempunyai identiti dan budaya tersendiri," katanya pada majlis penutup Kejohanan Silat Seni Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di sini hari ini.

Sementara itu, pasukan dari Selangor muncul sebagai Johan keseluruhan bagi peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah pada kejohanan itu yang bermula 11 Jun ini.

Md. Isa berkata, seni silat sebagai pusaka warisan bangsa itu harus dipertahankan oleh generasi muda hari ini.

Katanya, lebih menarik pusaka itu disuburkan menerusi penganjuran aktiviti pertandingan seni silat pada peringkat sekolah.

Katanya, ia memberi peluang untuk pelajar di peringkat rendah dan menengah mempelajari ilmu persilatan dengan lebih serius.

UTUSAN MALAYSIA

Sunday, June 10, 2012

Rakyat Diminta Tolak Janji Manis Pembangkang

KANGAR: Rakyat perlu menolak janji manis pembangkang yang hanya hadir ketika menjelang pilihan raya, tatkala kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) melaksanakan pelbagai program berkepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata pembangkang hanya tahu berjanji bagi meraih undi sedangkan kerajaan BN berusaha memastikan rakyat menikmati pelbagai kemudahan.

Selama ini rakyat menerima pelbagai kemudahan termasuk bantuan daripada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup, katanya ketika berucap merasmikan program 'Gema Karisma 1Azam', bagi kawasan Parlimen Kangar, di sini, Ahad.

Pada majlis itu, 34 usahawan kecil wanita menerima bantuan berjumlah RM170,000 di bawah program "Teman 1AZAM" bagi meningkatkan kegiatan perniagaan. Turut menerima bantuan hari ini ialah 25 mangsa ribut di kawasan parlimen tersebut berjumlah RM10,550.

Sementara itu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Bahari Taib, 64, diumum sebagai Tokoh Sukarelawan Kebajikan atas sumbangan besar beliau dalam kegiatan kebajikan di negeri ini.


BERNAMA