Monday, May 6, 2013

Azlan Man Menteri Besar Perlis Yang Baru


ARAU : Ahli Dewan Undangan Negeri Pauh, Azlan Man mengangkat sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau, di sini pada Selasa.

Azlan, 55, mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pukul 10 pagi.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

Azlan yang merupakan bekas timbalan ketua pengarah Biro Pengaduan Awam memenangi kerusi dewan undangan negeri Pauh pada pilihan raya umum ke-13 selepas menewaskan Ketua Dewan Ulama PAS Idris Yaacob dengan majoriti 1,382 undi.

Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada 1999.

Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi setiausaha bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah BPA sehingga bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Keputusan Penuh PRU13 Negeri Perlis



P001 Parlimen Padang Besar
BN 21473
PAS 14047
(MAJORITI BN 7426)

P002 Parlimen Kangar
BN 23343
PAS 19306
(MAJORITI BN 4037)

P003 Parlimen Arau
BN 19376
PAS 18005
BEBAS 406
(MAJORITI BN 1371)

N.01 TITI TINGGI
BN 3925
DAP 2439
BEBAS 968
(MAJORITI BN 1486)

N02 BESERI
BN 3636
PAS 3096
(MAJORITI BN 540)

N03 CHUPING
BN 5688
PKR 2812
(MAJORITI BN 2876)

N04 MATA AYER
BN 3737
PKR 1750
(MAJORITI BN 1989)

N05 SANTAN
BN 4209
PAS 3125
(MAJORITI BN 1084)

N06 BINTONG
BN 5255
PAS 4018
(MAJORITI BN 1237)

N07 SENA
BN 5418
PKR 3494
BEBAS 321
(MAJORITI BN 1924)

N08 INDERA KAYANGAN
BN 3171
PKR 4263
BEBAS 404
(MAJORITI PKR 1092)

N09 KUALA PERLIS
BN 3863
PKR 2831
BEBAS 172
(MAJORITI BN 1032)

N10 KAYANG
BN 4259
PAS 3595
(MAJORITI BN 664)

N11 PAUH
BN 4769
PAS 3387
(MAJORITI BN 1382)

N12 TAMBUN TULANG
BN 5286
PKR 2805
(MAJORITI BN 2481)

N13 GUAR SANJI
BN 4235
PAS 3308
(MAJORITI BN 927)

N14 SIMPANG EMPAT
BN 3362
PAS 3277
(MAJORITI BN 85)

N15 SANGLANG
BN 3511
PAS 3632
BEBAS 115
(MAJORITI PAS 121)

KESELURUHAN:
PARLIMEN (3 KERUSI)
BN:3 PAS:0
DUN (15 KERUSI)
BN:13 PAS:1 PKR:1 BEBAS:0

Wednesday, April 10, 2013

Sunday, September 30, 2012

Graduan UniMAP Laris Di Pasaran Industri

KANGAR – Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) begitu laris di pasaran industri dengan sebahagian besarnya dilamar pihak industri sebelum majlis konvokesyen berlangsung, kata Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Menurut beliau, 55 peratus daripada 1,830 graduan yang menerima ijazah dan diploma pada konvokesyen ke-7 universiti yang berakhir hari ini sudah berjaya memperoleh pekerjaan.

“Ramai di kalangan mereka bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa yang terkemuka,” katanya pada sidang media sempena konvokesyen universiti berkenaan, di sini hari ini.

Beliau gembira kerana jaringan strategik UniMAP dengan sektor industri selama ini, membolehkan graduan UniMAP diberi kepercayaan menjalankan kerja meskipun baru tamat pengajian.

Katanya, terdapat graduan menerima lamaran kerja sejak Jun lalu, sekali gus membuktikan pihak industri begitu yakin dengan mahawsiwa UniMAP yang melahirkan jurutera berwibawa.

Malah, beliau percaya lebih ramai graduan menerima lamaran kerja daripada pihak industri namun, terpaksa menolaknya atas alasan melanjutkan pelajaran. — BERNAMA

Monday, September 3, 2012

Maut Angkara Pemandu Cuai

AMINAH melihat keadaan kedai runcitnya yang rosak teruk selepas dirempuh sebuah kereta Honda Civic di Kangar.

KANGAR - Tindakan seorang remaja berusia 15 tahun yang memandu kenderaan ibunya untuk bersiar-siar bersama rakannya mengundang padah apabila dia melanggar dua beranak yang menunggang motosikal sebelum merempuh sebuah kedai runcit di Jalan Abi Tok Hashim di sini kelmarin.

Kejadian pukul 3.30 petang itu mengakibatkan penunggang motosikal tersebut, Mohd. Azmir Aziz, (gambar), 32, meninggal dunia 10 jam kemudian manakala anaknya, Mohd. Adam Haris Wajdi, 7, cedera parah. Pemandu kereta jenis Honda Civic itu dan rakannya pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, kejadian berlaku apabila remaja berkenaan gagal mengawal kereta untuk berhenti di simpang tiga di Jalan Abi Tok Hashim. Kereta yang dipercayai dipandu laju itu dari arah Jalan Stadium.

Katanya, ekoran itu, kereta tersebut telah melanggar motosikal dinaiki dua beranak tersebut sebelum merempuh pula sebuah kedai runcit milik Aminah Ahmad, 50.

"Selepas melanggar motosikal itu, kereta dipandu remaja tersebut 'melompat' di atas longkang sebelum merempuh kedai runcit yang kebetulan tidak beroperasi ketika kejadian.

"Akibat pelanggaran tersebut, dua beranak yang cedera parah itu koma tetapi penunggangnya disahkan meninggal dunia kira-kira 10 jam dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini. Anaknya pula masih belum sedarkan diri kerana kecederaan parah dan dirawat di hospital yang sama," katanya.

Tambahnya, remaja berkenaan telah ditahan dan dikenakan tindakan saman termasuk penjaganya. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika bersalah.

Sementara itu, Aminah mendakwa, ekoran rempuhan tersebut, dia kehilangan mata pencarian dan kerugian RM20,000. Kedai itu diusahakannya sejak enam tahun lalu.

KOSMO

Pesara terkilan guna Internet 14 hari, terima bil RM273.95

KANGAR - Terkilan dan tidak berpuas hati, itu luahan seorang pesara kakitangan kerajaan apabila dia dikehendaki membayar sejumlah bil kepada sebuah syarikat telekomunikasi.

Eniom a/l Endin Sing, 59, berkata, dia kecewa setelah dikehendaki membayar bil lebih RM200 walaupun hanya menggunakan perkhidmatan Internet terbabit kira-kira 14 hari.

Menurutnya, dia menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit sejak 40 tahun lalu dan tidak pernah mengalami masalah seperti itu sebelum ini. Namun, setelah dia bersara dan berpindah ke Kok Klang Mei lalu penggunaan Internet di kediamannya sering kali terputus melebihi 10 hari.

"Sebelum ini perkhidmatan Internet terbabit didaftarkan di atas nama anak perempuan saya, namun sebelum berpindah ke Kok Klang, saya menukarkan nama pendaftaran terbabit kepada nama saya.

“Akhir bulan Mei saya hanya sempat menggunakan Internet selama tiga hari sahaja, selepas itu saya tidak boleh menggunakannya langsung.

“Saya ke syarikat terbabit lebih empat kali dan membuat aduan menggunakan telefon sebanyak tiga kali, namun masalah ini masih berlaku sehingga kini. Disebabkan saya tidak menggunakan perkhidmatan itu saya mengambil keputusan untuk tidak membayarnya, " katanya.

Eniom berkata, setelah membuat aduan Mei lalu, kakitangan syarikat terbabit datang dan melakukan pemeriksaan. Dia kemudiannya dimaklumkan berlaku kerosakan di tiang telefon.

Menurutnya, apa yang mengecewakannya lagi dia hanya sempat menggunakan perkhidmatan Internet terbabit selama 10 hari sahaja, kemudiannya ia tidak boleh digunakan sehingga kini setelah syarikat terbabit menamatkan perkhidmatan itu kerana dia tidak menjelaskan pembayaran bil.

“Saya bukanya tidak mahu menjelaskan bil, tetapi saya hanya menggunakan perkhidmatan terbabit hanya tiga hari, namun bil yang sampai ke tangan saya lebih RM100.

“Yang terbaru saya baru menerima bil sebanyak RM273.95, jika dikira kembali saya baru menggunakan perkhidmatan terbabit lebih kurang 14 hari. Baru-baru ini semasa saya ke syarikat terbabit mereka berjanji untuk memberi saya rebat," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya rebat yang dijanjikan tidak ditunaikan apabila dia dikehendaki membayar bil seperti yang tertera dalam surat yang diterimanya sebelum ini.

SINAR HARIAN