Wednesday, February 9, 2011

21 Pelajar Dari Mesir Tiba

KANGAR – Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jafperi Othman mahu rakyat Malaysia terutama penuntut menjadikan pergolakan politik di Mesir sebagai iktibar supaya lebih menghargai keamanan.

Menurutnya, jika ingin dibandingkan dengan negara lain, masyarakat hari ini harus bersyukur dengan apa yang ada di Malaysia.

“Saya bersyukur apabila melihat pelajar kita yang menyambung pelajaran di Mesir dapat meninggalkan negara yang bergolak akibat rusuhan dan tunjuk perasaan itu,” katanya ketika berucap menyambut ketibaan kumpulan pertama pelajar Perlis di Mesir, malam kelmarin.

Dalam majlis itu, Jafperi yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menyambut kepulangan 21 pelajar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN).

Difahamkan, kumpulan pelajar dari Perlis itu adalah antara 778 pelajar Malaysia yang dikeluarkan dari Mesir dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Ops Piramid.

Sementara itu, pelajar Universiti Al-Azhar, Khairulzaman Zakaria, 24, berkata, Mesir yang sebelum ini mempunyai suasana yang ceria berubah sekelip mata disebabkan pergolakan tersebut.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat pulang ke negeri kelahirannya ini dengan selamat.

Dia yang juga pelajar tahun dua jurusan Syariah dan berasal dari Kampung Rama, Sanglang berkata, sementara menunggu peluang untuk meneruskan pengajian, dia berharap untuk mengadakan program kemasyarakatan di negeri ini.

“Apa yang berlaku di Mesir harus dijadikan iktibar dan rakyat Malaysia harus bersyukur dengan apa yang ada di negara ini,” katanya.

SINAR HARIAN

Padang Besar Potensi Pusat Pelancongan

PADANG BESAR 8 Feb.- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu bandar Padang Besar di sini dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan untuk pengunjung kerana ia berpotensi dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan.

Baginda bertitah, antara kemudahan itu termasuk membina satu hab pengangkutan yang mampu menghubungkan semua sistem pengangkutan seperti bas, teksi dan kereta api di bandar tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong.

"Kemudahan awam yang lebih bersistematik dan bersih seperti tandas-tandas awam, surau, tempat-tempat letak kenderaan serta tempat menunggu atau rehat sewajarnya diberi perhatian," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Penyerahan Penyata Potongan Zakat Gaji 2010 di Arked Niaga di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Baitulmal Perlis, Abu Bakar Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah Perlis, Jefperi Othman; Ketua Polis Perlis, Datuk Tajudin Md. Isa dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid.

Sementara itu titah baginda, sebuah Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) yang lebih mirip Mirror Image seperti di selatan tanah air bersempadan Singapura bakal dibina di Padang Besar.

"Sungguhpun begitu saya akur ia harus dibina dengan saiz dan kapasiti lebih kecil iaitu setimpal dengan keperluan semasa dan prospek jangka panjang di sini," titah baginda.

Baginda juga mahu agar lebih banyak premis penginapan bersesuaian dibina selain sistem papan tanda tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan Thailand untuk para pengunjung antarabangsa.

Baginda memberitahu, pendapatan zakat Perlis bagi tahun lalu meningkat kepada RM39.8 juta berbanding hanya RM30 juta pada 2009.

Peningkatan itu, titah baginda adalah kerana kesedaran dan kemampuan umat Islam di negeri ini untuk membayar zakat melalui pelbagai bentuk pembayaran.

"Apa yang amat menarik melalui sistem potongan gaji, ada kakitangan kerajaan dan swasta yang membuat potongan zakat yang banyak iaitu bermula dari RM1,000 sehingga RM2,000 sebulan," titah baginda.

Namun baginda berharap pihak pengurusan Baitulmal Perlis akan dapat melipatgandakan usaha memberi kesedaran umat Islam supaya membayar zakat.

"Teruskanlah memberi penerangan dan kesedaran supaya mereka yang layak akan membayar zakat," titah baginda.

Sementara itu, baginda juga berharap agar sebuah Dana Wakaf diwujudkan pada tahun ini dengan membuat kutipan melalui program wakaf tunai.

Titah baginda, faedah program itu ialah golongan yang berpendapatan kecil juga tidak ketinggalan dan berkeupayaan untuk mewakafkan wang walaupun RM10.

"Dengan memiliki RM10, seseorang tidak akan mampu membeli tanah kubur, tapak masjid namun dengan terkumpul sejumlah wang daripada hasil wakaf tunai, RM10 yang disumbangkan secara kolektif membolehkan mereka membeli aset yang dapat digunakan untuk manfaat umat Islam dan ganjaran pahala," titah baginda.

Pada majlis tersebut sebanyak RM2.1 juta zakat potongan gaji daripada 1,856 pembayar zakat dan zakat perniagaan Etika Takaful berjumlah RM38,624 diserahkan kepada Baitulmal Perlis.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin menyerahkan cek bantuan bernilai RM25,900 daripada Baitulmal kepada 31 pelajar sekolah di negeri ini.

UTUSAN MALAYSIA