Thursday, May 17, 2012

Ada Dalang Dalam UMNO Cuba Jejas Imej MB

KANGAR - Ada pihak dalam Umno dipercayai menjadi dalang untuk menjejaskan imej Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu kononnya mungkir janji meluluskan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada 27 keluarga dari Kampung Padang Lincin dan Kampung Baru Syed Omar, Kurong Batang, Bintong.

Md Isa yang juga Adun Bintong berkata, ada “musuh dalam selimut”, yang cuba melakukan pelbagai cara semata-mata untuk menjatuhkan imej dan kredibilitinya sebagai Menteri Besar dan wakil rakyat sehingga sanggup mengupah penduduk untuk melakukan perbuatan seperti itu.

Menurutnya, isu itu sudah lama diselesaikan apabila tawaran permohonan TOL tanah di kedua-dua kampung itu ditarik balik pada awal tempoh pelantikannya kerana ada usaha untuk menjualnya secara tidak sah kepada orang luar.

“Sebelum ini, penduduk kedua-dua kampung itu sememangnya dijanjikan status TOL bagi tiga lot tanah setiap penduduk dengan syarat, mereka membayar premium RM500 bagi setiap lot.

“Bagaimanapun, tawaran itu dibatalkan disebabkan ada unsur 'penjualan tanah secara tidak sah' kepada orang luar oleh individu tertentu,ia tidak wajar kerana kemudahan itu diberikan Kerajaan Negeri kepada kira-kira 10 penduduk asal,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan penduduk terbabit agar meluluskan permohonan TOL seperti yang dijanjikan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penduduk Padang Lincin, Johari Hassan berkata, dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Md Isa yang juga Exco Kerajaan Negeri dan calon Barisan Nasional (BN) kawasan Bintong berjanji akan membantu meluluskan status TOL jika menang.

Md Isa berkata, penduduk yang sudah membayar premium tanah bagi setiap lot boleh mengambil semula wang mereka di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis.

Beliau juga kesal dengan individu yang mengemukakan dakwaan itu kerana mereka tidak pernah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

“Saya difahamkan individu bernama Johari tinggal di Arau dan bukan merupakan penduduk asal Kampung Padang Lincin.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan juga bukan badan berdaftar dan hanya bertujuan mencetuskan provokasi yang didalangi pemimpin tertentu,” katanya.

Md Isa turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menukar status tanah padang ragut di kedua-dua kampung itu kepada tanah kerajaan untuk membela nasib kira-kira 10 penduduk asalnya.

“Saya kecewa kerana ada individu tergamak menjual lot tanah yang ditawarkan itu kepada orang luar sehingga menyebabkan majoriti tanah lot di situ 'dimiliki' bukan orang tempatan.

“Saya percaya apa dilakukan Kerajaan Negeri adalah betul. Kepada individu terlibat jangan pandai-pandai menimbulkan isu yang bukan isu,” katanya.


Thursday, October 13, 2011

Friday, October 7, 2011

BAJET 2012 : Ada Habuan Untuk Perlis

111. Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap tahun Kerajaan membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos kerugian dalam pelbagai aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta penduduk yang masih tinggal di kawasan berisiko banjir. Sebagai tindakan awal, Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah. Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.

Tuesday, September 13, 2011

Lebih 40 Hektar Tanaman Ditenggelami Banjir di Perlis

KANGAR 13 Sept. - Lebih 40 hektar kawasan pertanian di utara Perlis terjejas dalam bencana banjir yang melanda Perlis sejak Ahad lalu.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perlis, Shaidan Nordin berkata, antara tanaman yang musnah ialah padi, jagung dan sayur-sayuran yang diusahakan 70 petani.

Dalam bencana banjir itu, 15 hektar tanaman padi di Tebing Tinggi dan Tok Kuning di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong yang menunggu masa untuk dituai musnah, katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan 25 pesawah mengalami kerugian sekitar RM70,000.

Turut terjejas ialah 17 hektar kawasan tanah jagung yang diusahakan 30 petani di Batu Bertangkup.

Mereka dianggar kerugian sekira RM20,000, katanya.

Selain itu katanya, lapan hektar kebun sayur di Guar Jentik, Bukit Merah, Kampung Penghulu Jaafar dan Semadong turut musnah.

Shaidan berkata, pihaknya sedang membuat tinjauan ke lebih banyak kawasan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat lagi kawasan tanaman yang ditenggelami banjir.

Bernama

UPSR di Perlis Lancar Walaupun Banjir

KANGAR 13 Sept. - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini berjalan lancar di Perlis walaupun negeri ini dilanda banjir sejak dua hari lepas.

Kesemua 4,594 calon UPSR tiba sejak awal pagi di 75 pusat peperiksaan untuk menduduki ujian selama tiga hari itu walaupun ada di antara pusat itu dilanda banjir selain ada pelajar yang tinggal di kawasan banjir.

Lebih 100 calon di kawasan yang terjejas teruk dengan banjir bermalam di sekolah yang menjadi pusat peperiksaan malam tadi bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang meninjau beberapa sekolah di kawasan banjir hari ini berpuas hati dengan langkah Jabatan Pelajaran Negeri menempatkan calon-calon yang tinggal di kawasan banjir bermalam di sekolah.

Di Sekolah Padang Melangit, 36 pelajar bermalam di sekolah itu malam tadi manakala Sekolah Kebangsaan Seri Indera juga sebanyak 36 pelajar, Sekolah Kebangsaan Panggas (22 pelajar) dan 14 pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT), Kangar.

Turut mengiringi Menteri Besar ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid, Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Nishad Mohamad.

Sementara itu, angka mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan sehingga pukul 12 tengah hari tidak banyak berubah dengan 551 mangsa masih berada di 13 pusat pemindahan iaitu 11 di Kangar dan dua buah pusat pemindahan di Arau.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis, semua pusat pemindahan di kawasan Padang Besar telah ditutup hari ini kerana banjir di kawasan berkenaan hampir pulih.

Bernama

Tingkat Persediaan Hadapi Banjir

PADANG BESAR 12 Sept. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan semua pihak menjadikan banjir yang melanda negeri ini sejak semalam sebagai ujian kepada rakyat dan kerajaan negeri serta agensi di bawahnya supaya lebih bersedia pada masa akan datang.

Sehubungan itu, titah baginda, pihak berkenaan akan dapat menyediakan Pelan Pengurusan Bencana yang lebih baik, selamat, sistematik dan efektif berdasarkan pengalaman masa lalu.

“Ia melibatkan pelbagai agensi, antaranya Majlis Keselamatan Negeri, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Majlis Agama Islam Perlis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” titah baginda.

Tuanku Faizuddin bertitah demikian ketika meninjau beberapa pusat pemindahan banjir serta kawasan yang dilanda bencana itu di utara Perlis di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Mansor Jusoh.

Semalam, Perlis sekali lagi dilanda banjir termasuk Titi Tinggi Hilir dan Kampung Panggas Besar, melibatkan 40 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berhampiran.

Sementara itu titah baginda, walaupun bencana alam tidak boleh dielakkan, persiapan rapi dapat meminimumkan kadar korban dan kerosakan harta benda.

“Tindakan pasca banjir perlu dilaksanakan secara konsisten seperti merencanakan semula pelan pembangunan yang komprehensif dengan mengambil kira pelan penampan banjir.

“Ini termasuk pelan sistem perparitan dan saliran yang lebih baik sebagaimana dikemukakan oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan,” titah baginda lagi.

UTUSAN MALAYSIA

Monday, September 12, 2011

Jumlah Mangsa Banjir Di Perlis Yang Dipindahkan Meningkat

Gambar Sekadar Hiasan

KANGAR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di Perlis terus meningkat malam ini kepada 694, daripada 178 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis, berkata, mereka ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan dan sebahagian besar mereka adalah mangsa-mangsa di kawasan Kangar.

Menurutnya, walaupun cuaca cerah hari ini namun paras air di Kangar telah meningkat menyebabkan 384 mangsa daripada 90 keluarga dipindahkan ke sembilan buat pusat pemindahan sehingga pukul 8 malam ini.

Bagi kawasan Arau sebanyak 272 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di empat buah pusat pemindahan manakala di Padang Besar banjir mulai surut dengan beberapa pusat pemindahan telah ditutup.

Pada masa ini, hanya 38 mangsa daripada sebelas keluarga masih berada di sebuah pusat pemindahan banjir di Padang Besar.

Sementara itu, sebanyak 4,594 calon di negeri ini akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti biasa selama tiga hari mulai esok di 75 pusat peperiksaan meskipun banjir melanda.

Pengarah Pelajaran Negeri, Don Kasa berkata pihaknya sudah merangka kaedah untuk membolehkan calon-calon menduduki ujian itu termasuk menyediakan kenderaan bagi membawa mereka ke sekolah.

MStar