Tuesday, September 3, 2013

Perlis Berhasrat Bangunkan Sektor Pelancongan


KUALA LUMPUR - Perlis, negeri kecil di utara Semenanjung Malaysia, berhasrat memajukan dan membangunkan sektor pelancongan di dalam negerinya dalam usaha menarik para pelancong menjadikannya lokasi persinggahan.

Walau pun mencatatkan kedatangan kira-kira 2.5 juta pelancong setahun, kebanyakan mereka hanya melalui Perlis untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi, Kuala Lumpur atau Singapura.

Sehubungan itu, Menteri Besar Azlan Man berkata Perlis merancang untuk mewujudkan tarikan agar para pelancong yang melaluinya, singgah melakukan lawatan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi berkenaan.

“Kerajaan negeri bercadang mewujudkan produk pelancongan untuk menggalakkan pelancong menyertai sekurang-kurangnya program dua malam di sini,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di sini.

Beliau berkata Perlis yang mempunyai pantai sepanjang 22 kilometer dan bersempadan dengan negara jiran, Thailand, berpotensi untuk mewujudkan pelbagai aktiviti ekonomi yang membabitkan produk pelancongan, termasuklah taman tema air.

Selain pantainya, negeri itu juga berhasrat mengguna pakai empangan Timah Tasoh, yang terletak kira-kira 17 kilometer di utara Kangar di Jalan Kangar-Padang Besar, sebagai pusat rekreasi mesra alam seperti tempat sukan jet ski.

Menteri Besar itu berkata bagi tujuan berkenaan paras air empangan itu yang merupakan empangan saliran terbesar di Perlis, akan ditinggikan sebanyak 2.5 meter.

Azlan berkata kerajaan negeri juga akan memperkenalkan semula Taman Ular, Reptilia dan Burung di Batu Pahat, tidak jauh dari ibu negeri itu dengan menambah baik tempat berkenaan dengan mempelbagaikan jenis binatang di situ untuk dinaik taraf menjadi mini safari.

“Sehubungan itu, Perlis memerlukan lebih banyak hotel yang bertaraf tiga, empat atau lima bintang di mana para pelabur yang datang melabur di dalam industri itu di Perlis dapat memperoleh 100 peratus hak milik dari segi ekuitinya."

Itu adalah antara insentif yang diberikan kepada mereka,” kata Menteri Besar itu.

Sehingga ini, menurut beliau, bilangan bilik hotel yang terdapat di negeri itu kurang daripada 1,000, dan Perlis menyasarkan untuk menambah sehingga 1,500 bilik hotel di sekitar bandar Arau dan Kangar, dalam tempoh setahun.

Pembangunan sektor pelancongan ini turut dimasukkan ke dalam pelan strategik negeri Perlis 2012-2030 untuk menarik RM34.5 bilion nilai pelaburan ke negeri itu.

“Dari segi puratanya, Perlis menyasarkan nilai pelaburan RM2 bilion dan ini adalah anggaran minimum yang perlu dicapai."

"Pada tahun lepas, Perlis tidak mempunyai pelaburan besar yang masuk ke negeri ini, akan tetapi, pada tahun ini, melalui kerjasama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), projek berjumlah RM70.8 juta telah diperoleh," katanya.

Azlan berkata negeri itu akan turut menerima projek melebihi RM40 juta, untuk mengembangkan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dan juga kerjasama dari pihak Felda Global Ventures (FGV) untuk membina sebuah kilang getah mesra alam, khusus di Chuping yang melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM40 juta.

Dalam tempoh beberapa bulan di bawah kepimpinannya, Azlan berkata kerajaan negeri telah membawa masuk pelaburan sebanyak RM150 juta.

Mengenai usaha menambah bilangan rumah bagi menampung permintaan penduduk di negeri itu, Azlan berkata Perlis juga merancang menyediakan 2,000 unit rumah di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) dan lokasi-lokasinya telah dikenal pasti.

“Kita juga merancang untuk membina 1,000 unit rumah kos sederhana melalui kerjasama pihak swasta. Mereka juga akan turut membina rumah kos tinggi seperti banglo, rumah berkembar dan rumah teres."

“Kita sedar bahawa pembangunan ekonomi juga disertai dengan pertambahan bilangan rumah untuk menampung penduduk, bukan sahaja bagi mereka yang sedia ada di negeri Perlis, malah juga kepada mereka yang akan datang bermastautin di sini, sama ada terlibat dalam aktiviti ekonomi atau pun yang bekerja di sini,” tambahnya.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment