Sunday, June 17, 2012

UiTM Arau Tubuh MyAgrosis Galak Pengeluaran Makanan

ARAU 14 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPT) kedua di negara ini yang menubuhkan Kelab Usahawan Graduan Pertanian (MyAgrosis) untuk menggalakkan siswazah terlibat dalam pengeluaran bekalan makanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, kelab MyAgrosis pertama telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 17 Disember tahun lalu di UiTM Merbok, Kedah.

Sehubungan itu, katanya, ini membuktikan kerajaan memandang serius terhadap program bagi menjana pengeluaran makanan negara.

"MyAgrosis diperkenalkan dengan harapan generasi muda yang mempunyai pendidikan tinggi meminati bidang pertanian untuk membentuk kumpulan usahawan berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global," katanya selepas majlis pelancaran Kelab MyAgrosis UiTM di Dewan Semarak, UiTM Arau, di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor UiTM Perlis, Prof. Dr. Khudzir Ismail.

Sabry berkata, 152 siswazah UiTM Arau telah menganggotai kelab yang ditubuhkan sejak dua bulan lalu itu.

"Ahli kelab juga boleh mendapatkan pinjaman tanpa penjamin dan cagaran daripada AgroBank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional," katanya.

Sabry berkata, AgroBank memberikan pinjaman RM30,000 manakala TEKUN Nasional pula RM10,000 bagi membolehkan siswazah melaksanakan projek pertanian masing-masing.

"Program kelab ini juga mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengajian Tinggi dengan memberikan latihan dan bimbingan teknikal keusahawanan pertanian kepada siswazah-siswazah di peringkat IPTA," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Ketengahkan Stesen FRIM Mata Ayer

TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menandatangani plak perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar dan Infrastruktur Kemudahan Ekopelancongan sambil diperhatikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) di FRIM Mata Ayer, Padang Besar, Perlis semalam.

PADANG BESAR 14 Jun - Keunikan Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Mata Ayer, di sini, perlu diketengahkan sebagai Warisan Kebangsaan yang secara tidak langsung dapat memperkenalkannya di rantau ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, ini kerana pengiktirafan atau keunikan yang terdapat di stesen berkenaan akan menjadikan Perlis lebih dikenali, termasuk dengan menguar-uarkannya menerusi media cetak dan elektronik.

"Ini termasuk penyediaan informasi dalam bentuk poster atau risalah mengenai pelancongan yang diletakkan di hotel-hotel bagi memberi peluang kepada pelancong melihat kemudahan dan keistimewaan yang terdapat di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar dan Infrastruktur Kemudahan Ekopelancongan di stesen tersebut di FRIM Mata Ayer, hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis bertitah, FRIM menerusi stesen itu berjaya menjalankan penyelidikan sehingga menghasilkan 71 baka pokok jati tempatan yang berpotensi untuk dikomersialkan secara berjadual.

Tuanku Syed Sirajuddin percaya dengan iklim agak unik berbanding negeri lain, Perlis yang mempunyai musim lembap serta kering dan panas begitu sesuai untuk pertumbuhan pokok jati.

"Maka tidak hairanlah, jati hidup dengan subur di negeri ini sehingga mengindahkan pemandangannya.

"Pokok jati sama ada ditanam di ladang atau tepi jalan dapat memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi menstabilkan suhu persekitaran," titah baginda.

UTUSAN MALAYSIA

Dedah Anak-Anak Dengan Aktiviti Silat

ARAU 16 Jun - Aktiviti persilatan perlu didedahkan kepada anak-anak kerana ia bukan sahaja untuk mengisi masa lapang malah dapat membentuk insan teguh jati diri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, langkah itu juga selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat melahirkan insan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

''Secara tidak langsung, melalui aktiviti silat itu juga ia akan dapat mendedahkan kepada generasi muda hari ini bahawa orang Melayu mempunyai identiti dan budaya tersendiri," katanya pada majlis penutup Kejohanan Silat Seni Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di sini hari ini.

Sementara itu, pasukan dari Selangor muncul sebagai Johan keseluruhan bagi peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah pada kejohanan itu yang bermula 11 Jun ini.

Md. Isa berkata, seni silat sebagai pusaka warisan bangsa itu harus dipertahankan oleh generasi muda hari ini.

Katanya, lebih menarik pusaka itu disuburkan menerusi penganjuran aktiviti pertandingan seni silat pada peringkat sekolah.

Katanya, ia memberi peluang untuk pelajar di peringkat rendah dan menengah mempelajari ilmu persilatan dengan lebih serius.

UTUSAN MALAYSIA

Sunday, June 10, 2012

Rakyat Diminta Tolak Janji Manis Pembangkang

KANGAR: Rakyat perlu menolak janji manis pembangkang yang hanya hadir ketika menjelang pilihan raya, tatkala kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) melaksanakan pelbagai program berkepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata pembangkang hanya tahu berjanji bagi meraih undi sedangkan kerajaan BN berusaha memastikan rakyat menikmati pelbagai kemudahan.

Selama ini rakyat menerima pelbagai kemudahan termasuk bantuan daripada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup, katanya ketika berucap merasmikan program 'Gema Karisma 1Azam', bagi kawasan Parlimen Kangar, di sini, Ahad.

Pada majlis itu, 34 usahawan kecil wanita menerima bantuan berjumlah RM170,000 di bawah program "Teman 1AZAM" bagi meningkatkan kegiatan perniagaan. Turut menerima bantuan hari ini ialah 25 mangsa ribut di kawasan parlimen tersebut berjumlah RM10,550.

Sementara itu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Bahari Taib, 64, diumum sebagai Tokoh Sukarelawan Kebajikan atas sumbangan besar beliau dalam kegiatan kebajikan di negeri ini.


BERNAMA