Monday, July 5, 2010

Tingkatkan Infrastruktur Pengangkutan - Raja Muda

KANGAR 3 Julai - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu sistem pengangkutan dan jalan raya di Perlis ditingkatkan bagi melonjakkan proses pembangunan ekonomi negeri ini.

Titah baginda, sudah tiba masanya sebuah terminal bas bersepadu dibina bagi menambah baik sistem pengangkutan di negeri ini.

Bertitah merasmikan Jalan Dato' Ali Ahmad di sini hari ini, baginda mahu pembinaan jalan masuk ke Taman Teknologi Tinggi Ulu Pauh iaitu sebuah kawasan perindustrian baru diwujudkan segera.

Sebelum ini, Jalan Dato' Ali Ahmad, sempena nama bekas Menteri Besar Perlis keenam, yang berusia lebih dua dekad itu dikenali sebagai Jalan Behor Temak-Kuala Perlis kerana ia menghubungkan Behor Temak dan pekan Kuala Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kemudahan di lebuh raya Kuala Perlis-Changlun juga perlu ditingkatkan termasuk membangunkan kawasan rehat dan rawat manakala lampu jalan perlu ditambah.

Baginda berharap kemudahan di lebuh raya Kuala Perlis-Changlun, kemudahan jalan di sekitar pekan sempadan di Padang Besar ditingkatkan dan pelaksanaan projek jalan raya Arau-Kodiang dipercepatkan.

Peningkatan infrastruktur pengangkutan dan jalan itu akan memberi gambaran dan imej baik kepada para pelancong dan pelabur, titah baginda.

BERNAMA

Sunday, July 4, 2010

Keluarga Mesti Pantau Aktiviti Mahasiswa - Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan beramah mesra dengan pelajar baru pada Program Sambutan Siswa Siswi Bagi Sidang Akademik 2010/2011 di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis, Ulu Pauh, Arau, Perlis, semalam.


ARAU 4 Julai - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu setiap mahasiswa dipantau oleh keluarga masing-masing secara berjadual bagi memastikan golongan itu cemerlang akademik dan sifar masalah sosial.

Titah baginda, pemantauan dari jauh oleh keluarga mesti dilaksanakan secara serius supaya golongan tersebut benar-benar muncul sebagai graduan terhebat dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan negatif.

"Setelah anak-anak masuk universiti, kita sebagai ibu bapa wajarlah memotivasikan mereka. Salah satu daripadanya ialah memastikan penuntut di universiti tidak terlibat dalam sebarang kumpulan yang tidak baik seperti militan.

"Ibu bapa kenalah memantau anak-anak dari semasa ke semasa agar mereka tidak terbabit dalam kumpulan yang boleh merosakkan diri sendiri dan akademiknya," titah baginda.

Baginda membuat peringatan itu sewaktu bertitah merasmikan Majlis Taklimat Ibu Bapa sempena Program Sambutan Siswa Siswi Bagi Sidang Akademik 2010/2011 di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Ulu Pauh di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor Unimap turut berangkat ke majlis berkenaan.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap turut menasihatkan ibu bapa supaya menghubungi pihak Unimap bagi mendapatkan pelbagai maklumat berhubung kedudukan semasa anak masing-masing.

"Suka juga diingatkan kepada ibu bapa, jangan sesekali meminjam daripada ceti haram atau ah long untuk membiayai persekolahan anak-anak kerana risiko sebagai peminjam terlalu besar," ujarnya.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan penuntut Unimap agar tidak membudayakan menyewa kenderaan seperti kereta dan motosikal untuk aktiviti sosial, terutama hujung minggu kerana dibimbangi terlibat dengan nahas jalan raya dan gejala tidak sihat.

"Penuntut juga janganlah pula terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah dan pergaulan bebas. Pada masa yang sama, di Unimap kita mesti menentukan universiti ini bebas daripada masalah perkauman.

"Kami di Unimap berusaha menggunakan pelbagai cara untuk meletakkan mahasiswa semua kaum seperti satu keluarga. Sebab itulah kami menempatkan mahasiswa pelbagai bangsa untuk berkongsi bilik," titah baginda.

UTUSAN MALAYSIA