Sunday, March 15, 2015

Perlis Berpontensi Tarik Pelancong Islam Di Thailand


KRABI (SELATAN THAILAND) – Banyak peluang yang tersedia termasuk melanjutkan pengajian dalam bidang keagamaan, menjadikan Perlis berpotensi sebagai destinasi pelancongan Islamik untuk masyarakat Islam di Thailand.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kemasukan rakyat Thailand ke Perlis lebih mudah melalui dua pintu masuk jalan darat di Padang Besar dan Wang Kelian manakala jalan laut melalui Kuala Perlis.

Menurut baginda kestabilan politik, jaminan keselamatan, keharmonian masyarakat berbilang kaum yang mesra pelancong serta makanan halal merupakan faktor penting diperlukan oleh pelancong Islam.

“Perlis menawarkan semua ini termasuk pengajian agama peringkat menengah dan tinggi selain hubungan rapat komuniti Perlis dengan rakyat di Selatan Thailand yang terjalin sejak berabad,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran promosi dan memperkenalkan masakan Perlis di Hotel Front Bay Krabi Resort di sini pada akhir lawatan kerja tiga hari bersama anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke wilayah Krabi, petang semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Perlis, Ramli Dai, Timbalan Gabenor Krabi, Narong Woonsiw serta Yang Dipertua dan perwakilan enam wilayah Andaman Thailand yang menghadiri ‘Multaqa Ummatan Wahidah’ (Pertemuan Satu Umat) anjuran bersama MAIPs dan wilayah tersebut.

Antara juadah yang dihidangkan dengan bimbingan dua pengusaha restoran dari Guar Nangka, Perlis Shamiza Mohd Nor dan Ashidan Mat Isa ialah laksa Kuala Perlis, gulai masak daging dengan rebung, pekasam goreng, ikan keli goreng dan korma daging.

Promosi berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan dijayakan dengan kerjasama pengurusan Hotel Front Bay Krabi Resort, MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YSTP) Perlis dan pejabat Tourism Malaysia cawangan Perlis.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut mengambil kesempatan mempromosikan pusat-pusat pengajian Islam di Perlis seperti Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan pusat pengajian agama peringkat menengah.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin pelbagai aktiviti keagamaan yang dilaksanakan oleh pihak berwajib seperti MAIPs dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) terbuka kepada pelancong asing.

“Sebagai negara yang mana Islam adalah agama Persekutuan, beta ingin memberitahu bahawa orang Islam yang berkunjung ke Perlis boleh menikmati percutian mereka dengan aman,” titah baginda. 

– BERNAMA



#pesonaperlis

No comments:

Post a Comment