KANGAR – Beberapa tempat dan infrastruktur di negeri ini akan dinaik taraf Majlis Perbandaran Kangar (MPK) demi menjadikan Perlis negeri selamat untuk diduduki.
Antara program yang akan dilakukan itu termasuk memperlebar program pencahayaan bandar, pemasangan kamera litar tertutup dan memperbanyakkan papan tanda penunjuk arah.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat berkata, untuk program pencahayaan, beberapa lokasi terutama di pekan kecil seperti Arau, Padang Besar, Kuala Perlis dan Simpang Empat suah dikenal pasti untuk dipasang dengan lampu.
Katanya, untuk itu, pihaknya sudah memohon peruntukan RM2.5 juta daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan tujuan itu dan sehingga kini sebahagian dari jumlah itu sudah diluluskan.
Menurutnya, selain pencahayaan, MPK juga akan memperbanyakkan pemasangan papan tanda penunjuk arah yang dilihat masih berkurangan serta ada antaranya mengundang kekeliruan dalam kalangan pengguna.
“Masih ada penduduk negeri ini yang tidak tahu di mana letaknya pejabat kerajaan seperti pejabat tanah kerana tidak ada papan tanda penunjuk arah untuk memandu mereka.
“Justeru, kita akan memperbanyakkan papan tanda di setiap jalan utama untuk membantu pengguna menuju ke lokasi yang ingin dituju,” katanya ketika ditemui.
Rosley berkata, seterusnya, MPK akan melakukan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa tempat yang kebarangkalian masalah jenayah meningkat seperti di Kuala Perlis dan Padang Besar.
SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment