SEGALA kini sudah tersedia menanti ketibaan pengunjung. Selepas menjelajah beberapa negeri sebelum ini, tibalah pula giliran negeri di utara tanah air digegarkan dengan Karnival Gegaria Harian Metro 2010 yang berlangsung pada 30 dan 31 Oktober ini di pekarangan Stadium Utama Negeri Perlis, Perlis.
Tidak dinafikan populariti Karnival Gegaria Harian Metro begitu mantap apabila berupaya mengundang kehadiran lebih 60,000 pembaca akhbar harian nombor satu negara ini setiap kali ia diadakan.
Jelas, penganjuran karnival ini sangat ditunggu-tunggu masyarakat setempat kerana menampilkan kepelbagaian di dalamnya.
Selain hadir berkunjung ke gerai penaja dan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) yang disediakan, mereka juga teruja mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan.
Inilah juga peluang untuk mereka bertemu artis kesayangan dalam konsert yang menjadi kesukaan ramai.
Menariknya, aktiviti yang dijalankan menerusi penganjuran Karnival Gegaria Harian Metro dipecahkan kepada pelbagai cabang bagi memenuhi selera semua peringkat umur. Penggemar permotoran misalnya boleh memenuhi selera mereka dengan menyaksikan pameran motosikal dan kereta edisi terbaru serta yang sudah diubah suai.
Manakala penggemar budaya pula boleh menyaksikan persembahan kebudayaan yang turut diadakan. Peminat yang sukakan gaya hidup sihat pula boleh menyertai pertandingan futsal dan bola jaring sementara yang sukakan kecantikan bolehlah mencuba bakat dalam pertandingan tata rias wajah.
Tidak ketinggalan diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pertandingan nyanyian Metro Idol bagi memberi peluang kepada pembaca menunjukkan bakat terpendam mereka.
Pameran 20 Tahun Harian Metro turut diadakan bagi memberi peluang semua pihak terutama golongan muda menyelami sejarah awal permulaan akhbar ini.
Dalam berhibur, aspek keagamaan tidak dilupakan apabila Karnival Gegaria Harian Metro 2010 juga menampilkan Majlis Diskusi Ad-din yang membicarakan pelbagai topik berkaitan agama Islam.
Sementara itu, Konsert Gegaria yang akan berlangsung esok, jam 9 malam pula menampilkan barisan artis hebat iaitu Nash (Lefthanded), kumpulan Saujana, Unic, Is (Firdaus) dan Akbar Azmi. Mereka akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular bagi menghiburkan peminat di sana.
Nash berkata, sudah lama dia tidak mengadakan persembahan terbuka di hadapan peminatnya di sekitar utara. Justeru, dia tidak melepaskan kesempatan mendendangkan rangkaian lagu-lagu terbaiknya.
“Sangat teruja rasanya kerana sudah lama saya tak muncul di sana. Saya akan menyampaikan lagu-lagu popular antaranya Tiada Lagi Kidungmu, Debunga Wangi dan Pada Syurga Diwajahmu. Saya harap peminat dapat hadir beramai-ramai untuk memeriahkan konsert ini,” katanya.
Kumpulan Saujana yang sudah sekian lama menyepikan diri akan membuat kemunculan istimewa bagi menghiburkan peminat yang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada mereka.
“Kami begitu terharu apabila Harian Metro memberi peluang untuk bertemu peminat di sana. Justeru, kami takkan menghampakan peminat yang datang dengan persembahan lagu-lagu nostalgia kami iaitu Suci Sekeping Hati, Patah Hati, Insya’Allah dan Keluarga Bahagia,” kata ketuanya Suffian Amrin.
Sebelum itu, pada sebelah petangnya peminat boleh bertemu dan beramah mesra dengan semua artis di gerai Harian Metro dan gerai penaja utama, Celcom.
Sesi yang bermula pada jam 5 petang ini akan dihadiri semua artis terbabit.
Mereka akan turut disertai pelakon yang sedang meningkat naik, Mas Muharni yang ketika ini sedang menjalani penggambaran drama di Perlis.
No comments:
Post a Comment