Wednesday, November 24, 2010

Penduduk Perlis Nikmati Potongan RM20 Bil Air

KANGAR 23 Nov. — Penduduk Perlis akan menikmati potongan RM20 dalam bil air bagi bulan November ini ihsan daripada kerajaan negeri Perlis bertujuan meringankan beban mereka membersihkan premis masing-masing selepas dilanda banjir awal bulan ini.

"Mereka yang tak terjejas banjir turut menikmati potongan itu kerana mereka juga terbabit dalam kerja membantu mangsa banjir,” kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Inovasi Jabatan Kerja Raya di sini malam tadi, beliau berkata, potongan bil kepada 65,000 pengguna itu dijangka menyebabkan kerajaan negeri menangung kos sebanyak RM1.3 juta.

Ketika banjir memuncak awal bulan ini, lebih 15,000 penduduk Perlis dipindahkan ke 57 pusat pemindahan.

Dalam ucapan pada majlis itu, Md Isa berkata Perlis mengalami kerugian besar akibat kerosakan yang berpunca daripada banjir.

Antara yang rosak ialah bangunan dan jalan selain kerugian yang dialami oleh sektor pertanian. — Bernama

Tuesday, November 9, 2010

Pendawaian Baru Elektrik di Kedah, Perlis

KANGAR 9 Nov. - Majlis Belia Malaysia (MBM) akan membaiki dan membuat pendawaian semula bekalan elektrik bagi rumah-rumah yang rosak akibat banjir di Kedah dan Perlis dalam masa terdekat.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, langkah itu diambil untuk meringankan beban mangsa bencana alam, terutama golongan miskin yang terdiri daripada petani dan buruh kampung yang sedang dihimpit kesusahan.

Katanya, MBM melakukan kerja amal itu secara percuma dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan untuk membantu kumpulan sasar secara berjadual.

"Kementerian bersetuju untuk membekalkan tenaga mahir dalam sistem pendawaian elektrik untuk menyertai skuad sukarelawan MBM membaiki atau membuat pendawaian semula rumah mangsa banjir.

"Tenaga mahir yang dibekalkan kementerian itu terdiri daripada pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang mengikuti pengajian pendawaian elektrik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mengenai tenaga pakar yang akan menyertai pasukan itu pula, Mohamed Maliki memberitahu, MBM menyediakan tenaga pakar dalam bidang berkenaan, terutama yang melibatkan kontraktor dalam bidang berkaitan.

Menyentuh cara membantu mangsa banjir itu pula, beliau memberitahu, pihaknya akan memberikan bantuan berkaitan berdasarkan cadangan yang diberi oleh kerajaan negeri atau bilik gerakan banjir negeri.

"Kerajaan negeri atau bilik gerakan banjir negeri mempunyai rekod tepat berhubung rumah yang rosak dan perlu diberi bantuan untuk membaiki sistem pendawaian elektrik di rumah mangsa banjir," katanya.

UTUSAN MALAYSIA - 10/11/2010

Kerajaan Negeri Buat Persediaan

KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis mengambil langkah persediaan awal menghadapi kemungkinan berlaku banjir gelombang kali kedua.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, antara langkah itu ialah dengan tidak menghabiskan stok bekalan yang disumbangkan pihak tertentu kepada bilik gerakan banjir di sini.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih aktif mengedarkan bantuan dan sumbangan kepada semua mangsa banjir di negeri ini sama ada yang berpindah ke pusat pemindahan atau yang menumpang di rumah saudara.

“Sehingga kini, agihan bantuan dan sumbangan masih aktif dilakukan sukarelawan banjir berasaskan bekalan yang ada.

“Bagaimanapun, kita akan menyimpan sebahagian daripada stok bekalan yang ada sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua nanti,” katanya selepas melancarkan Tabung bantuan bencana banjir Negeri Perlis 2010, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Hadir sama, Speaker DUN, Datuk Yazid Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Abd Hamid.

Md Isa berkata, kutipan dari tabung bencana itu sebagai persediaan menghadapi kejutan banjir untuk masa depan.

Katanya, semua pihak termasuk ketua jabatan, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin masyarakat dan badan sukarela harus mengambil inisiatif melancarkan tabung berkenaan di peringkat masing-masing yang hanya akan dipusatkan di bawah satu tabung bantuan bencana banjir 2010.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus menyumbang ke nombor akaun 09020004202051 atas nama Bendahari Negeri menerusi akaun CIMB Cawangan Kangar.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada Perlis dan sangat mengalu-alukan lebih banyak sumbangan disalurkan demi memenuhi keperluan mangsa.

“Banjir kali ini meninggalkan kesan yang perit kepada semua. Bukan sahaja kepada mangsa, malah turut membabitkan pasukan penyelamat kerana hujan di luar jangkaan.

“Justeru, diharap semua pihak sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi banjir yang akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

SINAR HARIAN - 10/11/2010

NCIA Bagi Bantuan Kemanusiaan

PADANG BESAR – Dalam usaha membantu hampir 50,000 mangsa banjir di Perlis dan Kedah, pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyampaikan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban mangsa.

Bantuan kemanusiaan berbentuk barang keperluan dan wang itu disampaikan kepada mangsa banjir di daerah yang teruk dilanda banjir.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, sumbangan berjumlah hampir RM90,000 itu merangkumi makanan asas seperti biskut, susu, air mineral dan minuman milo.

Menurutnya, bantuan makanan dan minuman itu dibawa khas dari ibu pejabat NCIA ke pusat pemindahan mangsa banjir di Kedah dan Perlis sejak 4 November lalu.

“Kita turut mengagihkan bantuan di lima daerah di Kedah iaitu di Kota Setar, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Kubang Pasu.

“Pihak NCIA memilih untuk menyumbangkan bekalan makanan kepada mangsa banjir ini kerana, kami percaya dalam keadaan kecemasan warga emas dan kanak-kanak tidak boleh terputus bekalan makanan yang berkhasiat serta air minuman yang bersih.

“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kami memberikan bantuan segera yang termampu kepada penduduk yang menjadi mangsa banjir di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan bantuan dapat diberi secepat mungkin, NCIA sudah menyalurkannya melalui agensi yang terlibat dalam operasi banjir di setiap negeri.

“Bantuan kemanusiaan di negeri ini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis untuk disalurkan ke kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan yang paling teruk dilanda banjir.

Manakala di Kedah, NCIA menyerahkan bantuan itu kepada Pengerusi Mada, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan disalurkan melalui jentera Mada,” katanya.

SINAR HARIAN - 10/11/2010