Monday, September 12, 2011

Perlis Dilanda Banjir

KANGAR – Hujan lebat berterusan dari petang kelmarin sehingga semalam menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air.

Antara kawasan yang terjejas ialah sekitar Padang Besar membabitkan Titi Tinggi, Panggas dan Guar Medang Gatal. Selain itu, Kampung Syed Omar turut dinaiki air.

:Maklumat dari bilik gerakan banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati sehingga jam 6 petang semalam, tiga pusat pemindahan sudah dibuka.

Sebanyak 21 keluarga sudah dipindahkan ke Dewan Titi Tinggi Hilir, Dewan Kampung Panggas Besar dan Dewan Kampung Guar Medang Gatal.

Bilik Gerakan Banjir di Kompleks Dun juga dibuka mulai jam 12 tengah hari, semalam.

:Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir Nishad Mohamed Mohd Shaffy berkata, semua enam pintu pelepasan air di Empangan Timah Tasoh di sini, dibuka kerana paras air yang mencatat ketinggian 29.29 meter iaitu sudah melepasi paras normal.

Difahamkan, hujan akan melanda hingga awal pagi esok (hari ini) dan amaran hujan tahap jingga sudah dikeluarkan.

Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran tahap jingga terhadap dua sungai iaitu Sungai Pelarit dan Sungai Jekarum kerana paras air sudah melepasi paras bahaya.

Pasukan operasi dan menyelamat sudah ditempatkan di beberapa lokasi yang dilanda banjir bagi memberi bantuan segera kepada mangsa termasuk memindahkan mangsa ke tempat selamat.

SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment