Tuesday, September 13, 2011

UPSR di Perlis Lancar Walaupun Banjir

KANGAR 13 Sept. - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini berjalan lancar di Perlis walaupun negeri ini dilanda banjir sejak dua hari lepas.

Kesemua 4,594 calon UPSR tiba sejak awal pagi di 75 pusat peperiksaan untuk menduduki ujian selama tiga hari itu walaupun ada di antara pusat itu dilanda banjir selain ada pelajar yang tinggal di kawasan banjir.

Lebih 100 calon di kawasan yang terjejas teruk dengan banjir bermalam di sekolah yang menjadi pusat peperiksaan malam tadi bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang meninjau beberapa sekolah di kawasan banjir hari ini berpuas hati dengan langkah Jabatan Pelajaran Negeri menempatkan calon-calon yang tinggal di kawasan banjir bermalam di sekolah.

Di Sekolah Padang Melangit, 36 pelajar bermalam di sekolah itu malam tadi manakala Sekolah Kebangsaan Seri Indera juga sebanyak 36 pelajar, Sekolah Kebangsaan Panggas (22 pelajar) dan 14 pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT), Kangar.

Turut mengiringi Menteri Besar ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid, Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Nishad Mohamad.

Sementara itu, angka mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan sehingga pukul 12 tengah hari tidak banyak berubah dengan 551 mangsa masih berada di 13 pusat pemindahan iaitu 11 di Kangar dan dua buah pusat pemindahan di Arau.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis, semua pusat pemindahan di kawasan Padang Besar telah ditutup hari ini kerana banjir di kawasan berkenaan hampir pulih.

Bernama

No comments:

Post a Comment