PADANG BESAR 12 Sept. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan semua pihak menjadikan banjir yang melanda negeri ini sejak semalam sebagai ujian kepada rakyat dan kerajaan negeri serta agensi di bawahnya supaya lebih bersedia pada masa akan datang.
Sehubungan itu, titah baginda, pihak berkenaan akan dapat menyediakan Pelan Pengurusan Bencana yang lebih baik, selamat, sistematik dan efektif berdasarkan pengalaman masa lalu.
“Ia melibatkan pelbagai agensi, antaranya Majlis Keselamatan Negeri, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Majlis Agama Islam Perlis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” titah baginda.
Tuanku Faizuddin bertitah demikian ketika meninjau beberapa pusat pemindahan banjir serta kawasan yang dilanda bencana itu di utara Perlis di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Mansor Jusoh.
Semalam, Perlis sekali lagi dilanda banjir termasuk Titi Tinggi Hilir dan Kampung Panggas Besar, melibatkan 40 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berhampiran.
Sementara itu titah baginda, walaupun bencana alam tidak boleh dielakkan, persiapan rapi dapat meminimumkan kadar korban dan kerosakan harta benda.
“Tindakan pasca banjir perlu dilaksanakan secara konsisten seperti merencanakan semula pelan pembangunan yang komprehensif dengan mengambil kira pelan penampan banjir.
“Ini termasuk pelan sistem perparitan dan saliran yang lebih baik sebagaimana dikemukakan oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan,” titah baginda lagi.
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment