Wednesday, August 5, 2009

4 Punca Gula Susut di Perlis

KANGAR 5 Ogos - Spekulasi kononnya harga gula akan dinaikkan dalam masa terdekat, dikenal pasti menjadi salah satu faktor sehingga berlakunya kekurangan bekalan gula di Perlis.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, ekoran spekulasi itu menyebabkan pengguna di negeri ini tidak mendapat bekalan di tahap normal.

"Disebabkan percaya kepada spekulasi tersebut, ia mendorong sesetengah pihak membeli bekalan dalam kuantiti agak besar sebagai persediaan awal menghadapi kenaikan harga gula.

"Itu merupakan salah satu daripada empat sebab yang kami peroleh sehingga Perlis menghadapi masalah bekalan gula sekarang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Faktor kedua pula, katanya, pengusaha industri makanan dan minuman yang berasaskan gula, membeli gula dalam jumlah terlalu besar atas faktor perniagaan selepas terpengaruh dengan spekulasi yang sama.

"Faktor ketiga pula yang menyebabkan berlakunya kekurangan gula pasir di pasaran Perlis adalah kerana permintaan berganda menjelang Aidilfitri.

"Sementara itu, penyebab keempat pula adalah penyeludupan ke Thailand kerana harga bahan tersebut di negara jiran itu lebih tinggi berbanding di Malaysia," katanya.

Harga standard gula pasir di Thailand RM2.08 sekilogram berbanding harga runcit di negara itu kira-kira RM2.50 sekilogram.

Di Malaysia pula, ia dijual RM1.45 sekilogram kerana sudah disubsidi oleh kerajaan.

Mohd. A. Aruwan memberi jaminan, bahawa bekalan gula di negeri ini semakin stabil berikutan beberapa langkah segera yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

"Bagi menstabilkan bekalan kita telah mengedar 65 tan (65,000 kilogram) gula kepada peruncit di Perlis pada Isnin lalu diikuti 36 tan (36,000 kilogram) semalam," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pengguna agar tidak panik dengan situasi berkenaan sehingga membeli gula melebihi keperluan semasa.

Mohd. A. Aruwan juga meminta peniaga, pemborong dan peruncit agar tidak membuat simpanan gula ekoran spekulasi kononnya bahan itu akan dinaikkan harga tidak lama lagi.

"Kami akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa terutama bertindak tegas terhadap peniaga yang menjual gula melebihi harga siling," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment