Tuesday, August 4, 2009

Perlis Kekurangan GULA

KANGAR - Perlis yang merupakan antara negeri pengeluar utama gula kini mengalami kekurangan gula sehingga menimbulkan keresahan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Sabry Ahmad mengesahkan kekurangan bekalan dikesan lebih seminggu lalu.

Perlis memiliki lebih 8,000 hektar ladang tebu di Chuping.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan berbincang dengan Kilang Gula Felda Chuping, satu-satunya pengilang gula di Perlis untuk mencari jalan penyelesaian, kata Sabry.

Beliau berkata pengilang perlu menyediakan kuota khas untuk Perlis bagi memastikan kekurangan itu dapat diatasi.

Pengerusi Persatuan Pengguna Perlis, Seruandi Saad meminta kerajaan negeri segera bertindak bagi mengatasi masalah kekurangan gula yang mula menimbulkan kegelisahan orang ramai terutama bagi menghadapi bulan puasa tidak lama lagi.

Menurut laporan Bernama, Perlis merupakan antara negeri di wilayah Utara yang dilaporkan mengalami kekurangan gula.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati peruncit merungut kerana bekalan yang diminta lewat sampai.

Tempoh masa selama 5 hari diperlukan bagi mendapatkan bekalan gula untuk dijual dan memenuhi permintaan orang ramai, keadaan itu memperlihatkan negeri di Utara kini menghadapi krisis kekurangan bekalan gula.

Pemilik kedai runcit, Wan Suriati Wan Awang berkata, tempoh lima hari adalah terlalu lama berbanding sebelum ini yang hanya memakan masa sehari malah ada ketika lebih cepat daripada tempoh itu.

Menurutnya, walaupun bekalan sampai lewat namun jumlah gula yang dibekalkan masih tidak mencukupi.

“Masalah ini sudah berlarutan selama seminggu dan ada sesetengah pelanggan mengadu sebenarnya ia sudah berlanjutan beberapa minggu yang lalu.

“Bekalan guna di kedai saya tidak dapat memenuhi permintaan orang ramai terutama peniaga kecil di kawasan ini,” katanya yang mengakui kebanyakan masyarakat setempat di sini berniaga secara kecil-kecilan sama ada di tepi jalan atau pun di kawasan pasar malam.

Wan Suriati berkata, ada juga pelanggan yang datang dari Kodiang dan Jitra, Kedah, untuk mendapatkan bekalan gula ini di kedainya.

Beliau tidak sampai hati melihat kekecewaan di wajah setiap pelanggannya yang datang untuk mendapatkan gula namun beliau tetap menjualnya.

“Kalau mereka minta 2 kilogram saya terpaksalah bagi 1 kilogram sebab banyak lagi permintaan daripada orang lain.

“Bukan berniat untuk menyimpan gula namun ingin pastikan setiap pelanggan yang datang berpuas hati kerana di kedai saya masih ada gula walaupun hanya dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.

Beliau berharap agar krisis ini tidak akan berpanjangan dan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin memandangkan musim perayaan semakin hampir pada ketika ini.

Pada perkembangan lain, seorang suri rumah, Roslinda Muharam, 35, memberitahu, masalah kekurangan gula itu boleh menjejaskan persediaan bagi umat Islam untuk menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Katanya, gula amat penting dalam kehidupan walaupun penggunaan gula berlebihan boleh mendatangkan penyakit.

"Saya pelik mengapa setiap kali tiba musim perayaan keadaan seperti bekalan kurang, harga naik berlaku. Keadaan ini sepatutnya boleh dikawal lebih dahulu oleh jabatan dan agensi kerajaan," katanya.

Seorang lagi suri rumah, Shamsiah Dawam, 47 memberitahu, sekiranya bekalan harian sekarang ini sudah berkurangan, keadaan ini sekiranya tidak diatasi akan menjadi masalah besar menjelang hari raya nanti.

Katanya, rakyat juga ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku, adakah bekalan yang tidak mencukupi atau masalah pengeluaran atau permintaan semakin banyak.

"Saya berharap masalah ini dapat diatasi segera agar ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat khasnya menjelang Ramadan dan Syawal tidak lama lagi," katanya.

SINAR

No comments:

Post a Comment