Monday, July 27, 2009

Contohi Budaya Kerja Jepun

ARAU 27 Julai - Rakyat Malaysia perlu mencontohi budaya kerja warga Jepun yang cemerlang dalam sektor perindustrian walaupun negaranya pernah musnah akibat bom atom ketika Perang Dunia Kedua, 64 tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, budaya kerja yang berteraskan kegigihan itu wajar diteladani agar Malaysia memiliki kecemerlangan yang serupa.

Jelasnya, salah satu faktor yang banyak membantu rakyat Jepun berjaya selepas Perang Dunia Kedua ialah mereka memiliki cita-cita besar yang berteraskan kemahiran.

"Kita perlu mencontohi rakyat Jepun yang kini memiliki pelbagai kemahiran terutama dalam sektor perindustrian. Mereka bukan baru bermula, tetapi sebelum Perang Dunia Kedua lagi sudah memiliki teknologi terhebat.

"Selepas perang itu, Jepun lumpuh apabila bom atom digugurkan di negaranya sendiri iaitu di Hiroshima dan Nagasaki. Berikutan itu, Jepun bangkit daripada kehancuran negaranya kemudian maju sehingga kini menjadi negara maju di dunia," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Kerjaya dan Hubungan Industri 2009 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.

Menteri Besar percaya rakyat Malaysia yang kini memiliki pelbagai kemahiran dalam teknologi perindustrian akan memanfaatkan kemudahan tersebut untuk meniru kejayaan Jepun.

"Kita wajar meniru kehebatan rakyat Jepun. Kini, mereka menguasai sebahagian besar sektor perindustrian dunia.

''Salah satu kehebatan mereka ialah dalam bidang pembuatan kenderaan sama ada motosikal, kereta, bas dan jentera berat," ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA - 28 JULAI 2009

1 comment:

  1. Ini cuma angan2 saudara Md. Isa... Jika dia betul ingin lihat Perlis maju setaraf negeri lain... Yang pertama, dia perlu memikirkan cara untuk membawa balik pakar2 Perlis yang sedah merempat di Negeri and Negara lain... Jika dilihat setakat ini, kerajaan tiada langkah2 pro-aktivi untuk mengembangkan negeri Perlis. Dan cuma membiarkan pakar2 kelahiran Perlis mengalir keluar dan berkhidmat untuk negeri lain... Yang sedih lagi, ada terpaksa merempat di luar negara hanya kerana "Perlis tidak mahukan mereka"...

    ReplyDelete