Monday, July 27, 2009

Kekal Budaya Masyarakat Bestari

PADANG BESAR 27 Julai - Rakyat pelbagai kaum di negeri ini mesti mengekalkan budaya masyarakat bestari bagi memastikan kerukunan hidup warga Malaysia terus terpelihara untuk kepentingan bersama.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, perkara itu perlu diletakkan sebagai kepentingan yang didahulukan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.

Jelasnya, salah satu usaha untuk menentukan kerjasama masyarakat pelbagai agama dan bangsa supaya berkekalan ialah semangat itu wajar diterapkan di kalangan generasi muda.

"Pemuafakatan yang sedia terjalin antara kaum tidak boleh diketepikan. Budaya berkenaan wajar diterapkan kepada generasi muda sebagai amalan hidup mereka.

"Langkah ini tidak boleh diambil mudah kerana salah satu faktor yang menyokong Malaysia menuju ke arah negara maju ialah masyarakat bestari," ujarnya.

Md. Isa berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan Program Sepakat Bestari Parlimen Padang Besar 2009 di Dewan Orang Ramai Felcra Lubuk Sireh di sini semalam.

Menteri Besar Perlis mengajak masyarakat di negeri ini supaya sentiasa bersatu untuk membasmi pelbagai anasir jahat yang mahu menghancurkan negara.

Katanya, salah satu anasir jahat yang boleh menghancurkan rakyat ialah gejala sosial remaja yang mendorong berlakunya pelbagai kes jenayah.

UTUSAN MALAYSIA - 28 JULAI 2009

No comments:

Post a Comment