Monday, July 13, 2009

9 Projek Diperlukan


KANGAR 13 Julai - Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis merupakan pelantar pendaratan ikan kedua terbesar negara selepas di Kuantan, Pahang.

Salah satu daripada faktor kompleks itu mencapai status tersebut ialah kerana sebahagian daripada bot laut dalam Thailand turut mendaratkan hasil tangkapannya di situ.

Berasaskan fakta berkenaan, secara tidak langsung ia memaklumkan kepada semua bahawa Kompleks LKIM Kuala Perlis telah memberikan sumbangan yang cukup besar buat pembangunan ekonomi Malaysia sendiri.

Namun demikian, status kompleks tersebut sekarang tidak sesuai untuk dipadankan dengan taraf semasanya.

Sehubungan itu, LKIM telah mengemukakan cadangan serba lengkap kepada kerajaan negeri bagi menaik taraf pelantar Kompleks LKIM Kuala Perlis agar sepadan dengan statusnya sebagai pelantar pendaratan ikan kedua terbesar Malaysia.

Pengarah LKIM negeri, N. Hashim Ab. Rahman memberitahu, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) untuk mendapatkan peruntukan RM157 juta bagi menaik taraf kompleks tersebut.

Katanya, cadangan projek LKIM itu dikemukakan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) negeri Perlis sendiri.

Menurut beliau, kompleks lama yang dibina sejak 13 tahun lalu itu sekarang digunakan oleh kira-kira 500 bot nelayan setahun.

"Kompleks LKIM yang dibina sejak 1996 ini berkemampuan mendaratkan 20,000 tan ikan atau hasil laut setahun. Namun begitu, sekarang penggunaannya melebihi kemampuan sebenar apabila nelayan mendaratkan kira-kira 25,000 tan ikan setiap 12 bulan.

"Bagi memenuhi tuntutan semasa, kami memohon RM157 juta daripada kerajaan Perlis. Permohonan berkenaan telah dimajukan kepada PKENPs," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

N. Hashim juga menyatakan, dalam permohonan berkenaan pihaknya menyertakan kertas projek bagi menunjukkan perlunya RM157 juta itu untuk projek berkenaan.

"Dalam kertas tersebut, LKIM menamakan sembilan projek pembangunan besar yang diperlukan buat Kompleks KLIM Kuala Perlis. Setiap projek berkenaan pula disertakan dengan kosnya sekali," ujarnya.

Sembilan projek menaik taraf yang dimaksudkan oleh Pengarah LKIM Perlis itu, termasuk kemudahan yang menepati kehendak Kesatuan Eropah (EU). Projek-projek itu adalah seperti berikut;

1. Menaik taraf Kompleks LKIM Kuala Perlis kepada Pelabuhan Perikanan Antarabangsa (PPA) berharga RM70 juta yang meliputi;

l Pembinaan jeti tambahan bertaraf EU (RM30 juta).

l Melebarkan dewan pemetian ikan berbumbung (RM10 juta).

l Dermaga bekalan minyak, air batu dan air bersih (RM10 juta).

l Dermaga pelbagai guna bersebelahan Kompleks LKIM Kuala Perlis (RM10 juta).

l Kilang air batu bertaraf EU berkapasiti 100 tan (RM5 juta).

l Pembinaan Kilang Surimi iaitu pusat pengeluar isi ikan untuk industri kecil dan sederhana (IKS) di Perlis (RM5 juta).

2. Projek sistem pengurusan pelabuhan perikanan LKIM Kuala Perlis secara bersepadu dengan penggunaan informasi teknologi maklumat (ICT). Ia adalah kompleks perikanan bertaraf dunia yang sistematik (RM5 juta).

3. Pembesaran tapak unjam di perairan Perlis bagi menambah sumber bekalan ikan, mengelak pencerobohan pukat tunda dan meningkatkan tangkapan nelayan pantai (RM10 juta).

4. Pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan Baru di Kuala Sungai Baru. Ia bertujuan menampung kekurangan kemudahan mendarat ikan di Perlis yang mana sekarang pendaratan hanya tertumpu ke Kompleks LKIM Kuala Perlis (RM10 juta).

5. Pusat Komuniti dan Teknologi Nelayan Perlis (Pularis). Antara manfaatnya ialah memberi faedah kepada 30,000 komuniti di Perlis, meningkatkan pengetahuan ICT buat komuniti nelayan dan meningkatkan pendapatan Persatuan Nelayan melalui sewaan bangunan (RM5 juta).

6. Pembinaan kilang makanan haiwan untuk menampung kekurangan bekalan makanan haiwan serta memberi nilai tambahan kepada ikan bergred rendah (RM5 juta).

7. Pembinaan lima unit lot IKS di Kuala Perlis bagi menggiatkan pembangunan industri hiliran yang berasaskan perikanan di Perlis (RM12 juta).

8. Program penempatan semula perkampungan Nelayan Kuala Perlis. Mewujudkan sebuah perkampungan nelayan yang moden dan tersusun. Ia sesuai dijadikan tarikan pelancongan Perlis (RM30 juta).

9. Ternakan ikan dalam bangunan tertutup (ikan baramundy). Projek sampingan kepada nelayan miskin (RM10 juta).

UTUSAN MALAYSIA - 14 Julai 2009

No comments:

Post a Comment