KANGAR 27 Julai - Sebanyak 2,200 siswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menamatkan salah satu sukatan pelajaran wajib dalam Kursus Tujuh Tonggak Inovatif untuk melayakkan mereka dinobatkan sebagai siswazah.
Sukatan pendidikan yang disertai oleh bakal graduan itu ialah menyertai Program Bakti Siswa Perdana Siri Ketiga (BSP) selama tiga hari yang bermula 24 Julai dan berakhir semalam.
Pada masa yang sama, BSP itu juga turut mencatatkan sejarah dalam Malaysia Book of Records bagi kategori Keluarga Angkat Terbesar tiga tahun berturut-turut mulai 2007.
Tahun ini, 2,200 siswa pelbagai kaum dan agama itu menjadi anak angkat kepada 1,300 keluarga di 55 kampung di seluruh Perlis.
Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, antara teras utama program BSP itu ialah untuk membimbing siswa agar sentiasa prihatin terhadap tuntutan semasa masyarakat luar bandar.
Katanya, apabila mereka sudah memegang sesuatu jawatan nanti, golongan ini diharap akan lebih memberi perhatian terhadap tuntutan tersebut.
Pada masa yang sama jelasnya, BPS itu juga menjadi salah satu saluran untuk merangsang masyarakat agar mereka lebih cenderung untuk mendekati pendidikan dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, antara aktiviti yang disertai mahasiswa selama tiga hari itu termasuklah bengkel motivasi serta seminar kemasyarakatan dan pembangunan.
Pada masa yang sama jelasnya, mereka juga menyertai gerak kerja amal masyarakat yang masih dibudayakan oleh warga luar bandar iaitu gotong-royong bersama pemimpin dan menghadiri majlis ramah mesra masyarakat.
''Sejak dua tahun lalu, projek BSP siri ketiga ini dijayakan dengan kerjasama kerajaan Perlis. Ia juga turut mendapat sokongan padu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
''Selama tiga hari bersama keluarga angkat, siswa itu turut didedahkan kepada cara hidup masyarakat luar bandar terutama golongan petani dan buruh kampung,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kamarudin memberitahu, dalam tempoh yang singkat bersama keluarga angkat, antara yang dipelajari oleh peserta termasuklah cara hidup kampung masyarakat berbilang kaum.
Selain itu katanya, siswa terlibat juga turut mempelajari budaya hidup tetangga yang berlainan agama dan bangsa yang wajar dikekalkan.
UTUSAN MALAYSIA - 28 JULAI 2009
No comments:
Post a Comment